Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang berlepas dari Chennai, India ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ekoran masalah teknikal.

Pengurus Kanan LTAPP Mohd Arif Jaafar berkata pesawat berkenaan mendarat pada pukul 8.04 pagi di LTAPP selepas juruterbangnya mengesan berlaku masalah teknikal pada pesawat itu.

Beliau berkata pesawat itu dibenarkan mendarat di LTAPP demi keselamatan penumpang dan anak kapal.

"Berikutan itu, berlaku sedikit kelewatan mendarat kepada penerbangan lain di sini," katanya ketika dihubungi Bernama .

Beliau berkata pemeriksaan lanjut sedang dijalankan dan pesawat itu dijangka meneruskan penerbangan ke KLIA dalam tempoh terdekat.

Duta Khas Malaysia bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S.Samy Vellu adalah antara penumpang pesawat itu.

- Bernama