Najib: K'jaan fahami aspirasi S'wak
Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi berkata kerajaan persekutuan memahami keperluan untuk menghargai aspirasi, kepentingan dan sensitiviti Sarawak dengan kerja bersama-sama sebagai 1Malaysia dan satu keluarga.
Perdana Menteri berkata beliau gembira dengan sokongan yang diterima daripada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan kerajaan negeri dalam rangka kerja perlembagaan.
"Kita saling memahami dan faham bahawa kita perlu menghargai aspirasi, kepentingan dan sensitiviti negeri Sarawak dan pada masa sama, rakyat Sarawak memahami bahawa sebagai anggota dalam keluarga yang lebih besar dan menjadi sebahagian daripada Malaysia, anda berpeluang menerima faedah yang jauh lebih baik daripada sebelum ini," katanya.
Najib berkata demikian ketika menghadiri jamuan malam bersama lebih 500 pemimpin parti komponen BN negeri, tuai rumah dan ketua masyarakat kawasan pilihan raya Sibu, Lanang dan Sarikei di Sibu semalam.
"Ini yang kita inginkan sebagai sebuah negara. Marilah kita berkerja bersama-sama sebagai 1Malaysia dan satu keluarga," katanya, sambil menambah kerajaan BN telah membuktikan kepada rakyat Sarawak bahawa mereka mengambil berat dan menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat negeri itu.
Katanya sejak memegang jawatan Perdana Menteri, tambahan 342 projek persekutuan bernilai RM2.32 bilion telah diluluskan untuk Sarawak dan ini merupakan petunjuk keikhlasan yang juga amat penting dalam menilai perbuatan dan tindakan seseorang ahli politik.
Di bawah kepimpinan BN, Najib berkata rakyat tidak hanya dapat mengekalkan apa yang mereka ada tetapi pada hakikatnya, dalam konteks pencapaian sosio ekonomi juga semakin baik di Malaysdia kerana ia adalah penting bahawa kerajaan mampu melaksanakan apa yang telah dijanjikan.
"Ini adalah kunci kepada BN dan bagi pihak BN secara mutlak saya dan ketua menteri sebagai pemimpin negeri boleh berkata bahawa kami akan terus menunaikan janji kepada penduduk Sarawak dan sebab itu mengapa tema 'Janji Ditepati' dipilih untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-55," katanya sambil menambah tema itu telah membuat orang tertentu dari pembangkang tidak senang duduk.
Mengambil contoh kekecewaan dan rasa tidak puas hati rakyat di Selangor selepas pembangkang gagal menunaikan janji pada pilihan raya lepas, Najib berkata pencapaian BN jauh lebih baik walaupun ada satu atau dua projek yang tertangguh di negeri itu.
Beliau berkata masa depan Malaysia tidak boleh diuji sebagai sesuatu yang tidak menentu seperti yang telah dilakukan oleh pembangkang, iaitu memungkiri janji kepada rakyat untuk membentuk kerajaan pusat baharu pada 16 Sept 2008.
Walaupun BN berdepan dengan 'angin sakal', katanya pencapaian negara semakin baik dengan pencapaian 5.4 peratus pertumbuhan ekonomi pada suku kedua berbanding 4.9 peratus pada suku pertama tahun ini.
Merujuk bahawa rakyat Malaysia sedang melakukan pencapaian baik di peringkat global, Perdana Menteri berkata Putera William semasa lawatan ke negara ini semalam, menyatakan hartanah terbesar iaitu loji kuasa biogas yang akan dibangunkan di United Kingdom pada tahun-tahun akan datang akan diusahakan oleh sebuah syarikat Malaysia.
Loji berkenaan dimiliki bersama oleh SP Setia, Sime Darby Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Najib berkata tahun ini sahaja, Malaysia muncul sebagai Pusat Tawaran Awam Permulaan (IPO) ketiga terbesar dunia selepas Amerika Syarikat dan China manakala kedua terbesar IPO yang dikeluarkan oleh Felda Global Ventures.
"Daripada keuntungan itu, kita boleh agihkan kepada kawasan luar bandar dan sebab itu tiap-tiap kali saya turun ke Sarawak, saya telah meluluskan projek tambahan," katanya.
Nilai projek berkenaan bukan satu bilangan yang kecil dan sebab itu negara mesti mempunyai kejayaan ekonomi pada peringkat mikro dan keseluruhnya, kata Najib.
- Bernama

