mk-logo
Berita
Menteri: Youtube tak sensitif, masih muat filem anti-Islam

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, menyifatkan YouTube sebagai tidak sensitif terhadap kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia masih belum membuang klip filem "Innocence of Islam" daripada senarainya.

"Itulah bagaimana mereka tidak sensitif," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Rais berkata kebebasan bersuara tidak termasuk menyebabkan atau menimbulkan kebencian di kalangan umat Islam terhadap orang yang menghina agama mereka.

Memandangkan bantahan meluas dalam dunia Islam, beliau berkata YouTube mempunyai setiap sebab untuk mengeluarkan filem anti-Islam daripada senarainya.

"YouTube nampaknya tidak sedar kepada kekacauan yang disebabkannya. Pemilik YouTube tidak layak untuk dilepaskan daripada kemarahan umat Islam atau tindakan undang-undang," katanya.

Rais berkata pendakwa raya mempunyai setiap hak mengikut Kanun Keseksaaan untuk mengheret pihak-pihak yang menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan orang-orang yang melanggar Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihak berkuasa boleh menggunakan kuasanya mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.

Filem itu dikutuk oleh umat Islam dan Gereja Kristian Ortodoks Koptik sebagai "sebuah filem yang bersifat menghasut" manakala Majlis Gereja-gereja Sedunia berkata filem itu 'satu penghinaan kepada agama Islam".

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS