Liga Islam Sedunia mengutuk sekeras-kerasnya filem anti-Islam dan menyeru umat Islam menahan diri daripada menggunakan keganasan dalam menangani isu itu.
Setiausaha Agung liga itu, Profesor Dr Abdullah Al-Turky berkata filem sedemikian tidak seharusnya dibuat atas nama kebebasan bersuara kerana ia menjejas keharmonian sejagat.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya filem itu. Ia adalah perbuatan yang tidak boleh diterima," katanya selepas menghadiri Seminar Antarabangsa berhubung Agama
dan Proses Perdamaian di Asean, di Bangkok semalam.
Liga Islam Sedunia, sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah dan ditubuhkan pada 1962, turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengutuk filem bertajuk 'Innocence of Muslims' yang memutar belit fakta
berhubung Nabi Muhammad.
Protes terhadap filem itu telah merebak ke lebih 20 negara dan meragut banyak nyawa, termasuk seorang duta Amerika.
Bagi mengurangkan ketegangan semasa, Abdullah berkata Islam tidak menggalakkan penggunaan keganasan seperti membunuh dan memusnahkan harta benda sebagai cara menyelesaikan masalah.
Beliau turut diminta mengulas permintaan sekumpulan pengganas yang mahu umat Islam melancarkan lebih banyak serangan terhadap kepentingan Amerika Syarikat.
"Kami menentang sekeras-kerasnya penggunaan sebarang bentuk keganasan," katanya.
Sehubungan itu, Abdullah berharap ketegangan yang berlaku ketika ini tidak berpanjangan kerana keganasan bukanlah satu penyelesaian.
"Dialog dan kerjasama adalah alat yang berkesan dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.
Kedutaan AS di Bangkok ditutup tengahari ini
Sementara itu, Kedutaan Amerika Syarikat di Bangkok akan ditutup kepada awam tengah hari ini berikutan demonstrasi yang dirancang sebagai membantah filem menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w.
Temujanji bagi perkhidmatan visa dan kewarganegaraan yang dijadual tengah hari esok dibatalkan dan dijadualkan pada tarikh lain, demikian menurut kenyataan di lamanweb kedutaan itu.
Kedutaan AS telah diberitahu oleh polis Thai bahawa satu demonstrasi melibatkan beberapa ratus orang dirancang diadakan di hadapan kedutaan itu antara jam 1 hingga 2 petang.
"Kedutaan AS di Bangkok tidak menyedari buat ketika ini sama ada wujud sebarang ancaman terhadap warga AS di Thailand," tambah kenyataan itu.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kata kenyataan itu, kedutaan menasihatkan warganya agar berhati-hati dan mengawasi keadaan sekitar, terutama di kawasan kumpulan orang ramai.
Demonstrasi bantahan terhadap filem terbitan pembikin filem Yahudi yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. itu kini merebak ke lebih 20 negara dan mengakibatkan ramai terkorban, termasuk duta besar AS ke Libya.
Filem hina Nabi tiada lagi di Youtube
Sementara itu di KUALA LUMPUR, filem anti-Islam 'Innocence Of Muslims' yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam, didapati tidak lagi boleh diakses melalui saluran YouTube selepas kerajaan bertindak menyekat penyiarannya.
Cubaan Bernama hari ini untuk mengakses kandungan filem itu gagal, menjurus kepada pengamatan bahawa pengguna Internet di negara ini telah dihalang daripada mengakses filem kontroversi itu.
Hanya maklumat pemberitahuan meminta maaf tertera pada skrin yang berbunyi: "This content is not available in your country due to a legal complaint. Sorry about that" (Kandungan ini tidak boleh ditonton di negara anda berikutan aduan
secara perundangan. Maaf mengenai perkara itu).
Filem arahan Sam Bacile, 52, dari California, yang disiar dalam laman YouTube telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Tiga hari lepas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Malaysia akan menyekat penyiaran filem itu yang jelas menghina agama Islam.
Rais dipetik sebagai berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk berunding terus dengan pihak berkuasa lain supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui YouTube atau saluran lain.
- Bernama
