Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa, perdana menteri cuba menakut-nakutkan orang Melayu dan Islam apabila menyatakan bahawa pilihan raya umum akan datang merupakan penentu kepada kelangsungan golongan itu.

Beliau juga percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden Umno berkata demikian kerana "takut" akan kehilangan kuasa untuk membentuk kerajaan.

Dengan mengaitkan slogan 1Malaysia BN, Mahfuz turut memperolok-olokkan usaha itu sebagai "Skim Takut 1Malaysia".

"Mereka takut kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum akan datang. Masih ada harapan lagi orang Melayu untuk berubah pendirian supaya tidak bersama Umno dan BN.

"Saya boleh katakan, mereka ini sedang jalankan Skim Takut 1Malaysia (ST1M) yang menunjukkan pemimpin Umno ada ketakutan dengan ambil pendekatan menakutkan orang Melayu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Dalam ucapannya ketika menutup persidangan perwakilan Umno bahagian Pekan Sabtu lalu, Najib dilaporkan berkata hanya parti Umno dalam BN yang dapat "meneruskan perjuangan bangsa dan agama."

Laporan Bernama itu menyebut, Najib berkata orang Melayu tidak mempunyai tempat bergantung harap sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan kerana gabungan parti itu tiada parti Melayu yang menjadi teras pemerintahan seperti Umno dan BN.

Tanam kebencian

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata kenyataan Najib itu menunjukkan bahawa pemerintahan negara akan jatuh ke tangan bukan Islam sekiranya Umno tewas dalam pilihan raya nanti.

"Kenyataan ini bersifat secara halus dan tanam sifat kebencian orang Melayu kepada bukan Melayu. Seolah-olah kalau Umno kalah, orang bukan Islam ambil alih pemerintahan.

"Mereka tanam pada diri orang Melayu dengan kebencian," katanya lagi.

Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai satu kenyataan yang 'sempit', Mahfuz berkata, PRU-13 sebenarnya yang akan menjadi penentu survival politik Umno.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena ini menegaskan agar pilihan raya akan datang dapat menjadi peluang bagi bangsa Melayu merdeka daripada Umno.

"Kita telah merdeka selama 55 tahun. Tetapi apa yang perdana menteri kata menunjukkan sifat yang masih lagi belum merdeka. Jadi (pilihan raya umum ke-13) akan menjadi peluang bagi bangsa Melayu merdeka daripada Umno," katanya lagi.

VIDEO | 3.20 min

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini