Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan secara rasmi bahawa permit majalah proreformasi yang paling popular, Detik , tidak diperbaharui mulai Isnin lalu. Kementerian tidak memberikan sebarang alasan atas pengharaman tersebut.

Majalah itu menanggung kerugian lebih RM360,000 selepas penerbitannya digantung mulai 1 Disember tahun lalu.

Bekas Ketua Editor, Ahmad Lutfi Othman, memberitahu malaysiakini bahawa surat dari kementerian sudah dihantar kepadanya tetapi beliau belum lagi menerimanya.

Lutfi, bagaimanapun, berkata seorang pegawai kementerian pagi tadi mengesahkan melalui telefon bahawa majalah itu tidak dibenarkan diterbit kerana "kesalahan pemiliknya menyerahkan permit itu kepada pihak lain untuk diusahakan."

"Alasan pegawai KDN itu mudah dipertikaikan," kata Lutfi, sambil menegaskan sebelum ini beberapa penerbitan tidak pernah diharamkan atas alasan tersebut walaupun permitnya bertukar milik.

Beliau menyebut contoh akhbar mingguan Watan , pada waktu itu dipimpin Tan Sri Khir Johari, yang kemudiannya berubah kepada akhbar harian, dan diusahakan oleh seorang tokoh Umno, juga berbuat demikian.

"Kenapa KDN beri hujah seperti ini?" soal Lutfi lagi.

"Lebih baik kementerian berterus terang sahaja bahawa Detik memang mahu diharamkan."

Menurutnya, permit majalah ini pada asalnya diluluskan pegawai KDN pada 8 Disember lalu dan yuran tahunan sebanyak RM500 telah dijelaskan.

Bagaimanapun, ia ditarik beberapa hari kemudian selepas kabinet baru dibentuk berikutan kejayaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 29 November lalu.

"KDN akan memulangkan wang tersebut," jelas Lutfi.

Malaysiakini difahamkan permit asal Detik dipegang oleh sebuah syarikat yang ada hubungannya dengan seorang ahli Umno. Bagaimanapun, pemilik asal tidak mampu menerbitkannya semula selepas permit itu diperbaharui bulan November 1998.

Majalah ini mula berada di pasaran pada November 1995 tetapi untuk beberapa keluaran sahaja sebelum perniagaan itu gagal. Ia bagaimanapun diterbitkan kembali pada Januari tahun lalu dan mendapat sambutan di hangat berikutan pergolakan politik selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majalah yang menggunakan tema 'Suara Reformasi Rakyat' itu banyak menerbitkan laporan dan analisis yang dilihat proreformasi, termasuklah wawancara bersama Anwar, isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan tokoh-tokoh utama pembangkang.

Detik yang diterbitkan setiap dua minggu itu mendapat nama yang sama daripada sebuah majalah Indonesia yang diharamkan pada 1994.