P Pinang keluar kertas putih dakwaan penjualan tanah BN
Kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk mengeluarkan kertas putih mengenai dakwaan jualan tanah murah oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Ini adalah langkah terbaru Pakatan Rakyat untuk menjawab tuduhan berulangkali BN bahawa kerajaan negeri sekarang menjual tanah negeri dan didakwa mempunyai kepentingan peribadi dalam transaksi tersebut.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata hari ini bahawa mesyuarat exco negeri pada 12 September telah bersetuju untuk
mendedahkan jualan meliputi sekurang-kurangnya 4,000 ekar tanah.
Kertas putih, tambahnya, akan berdasarkan kepada siasatan oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh Exco negeri bagi kerajaan tempatan dan pengurusan trafik, Chow Kon Yeow.
Terma-terma rujukan yang diputuskan oleh exco negeri untuk siasatan terhadap jualan tanah murah, termasuk mengenal pasti jualan tanah murah yang dijalankan tanpa tender terbuka, harga yang dijual dan kepada siapa ia dijual, kata Lim dalam satu kenyataan.
Kertas itu, tambahnya, akan menganalisis proses penjualan
serta sama ada tanah yang dijual telah dibangunkan mengikut tujuan asal dijual.
Menurutnya, ia juga akan menyenaraikan kelemahan dan kerugian peluang kewangan yang ditanggung oleh kerajaan negeri ekoran penjualan tanah murah serta mengesyorkan langkah-langkah untuk memastikan amalan yang salah itu tidak berulang.

