Pengurus Borders mohon gantung pendakwaan
Pengurus kedai buku Borders Gardens, Nik Raina Nik Abdul Aziz yang menghadapi tuduhan mengedar buku kontroversi Allah, Kebebasan dan Cinta memohon untuk mengantung pendakwaan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ke atasnya di Mahkamah Tinggi Syariah.
Nik Raina dan syarikat Borders sebelum ini mendapat perintah daripada Mahkamah Rayuan sivil untuk menggantung perbicaraan sehingga permohonan untuk semakan kehakiman diputuskan.
Peguam Rosli Dahlan berkata beliau memohon untuk menggantung pendakwaan itu ekoran tindakan ketua pendakwaan JAWI yang mengulas di media bahawa beliau tidak terikat dengan prosiding mahkamah sivil.
Perkara itu membawa kepada permohonan yang dikemukakannya pada hari Isnin lalu, kata Rosli.
Nik Raina dan Berjaya Books Sdn Bhd, yang mengendalikan rangkaian kedai buku Borders, juga memfailkan satu lagi permohonan untuk mengenepikan langkah yang diambil pihak pendakwaan.
Pendakwa JAWI, Che Sauki Che Husin berkata, mereka memerlukan masa untuk menjawab afidavit dan memohon penangguhan.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Abdul Walid Abu Hassan kemudiannya menetapkan tarikh 19 November untuk mendengar penghujahan dan 23 Januari untuk memutuskan permohonan tersebut.

