Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng enggan mengulas berhubung kenyataan pemimpinnya dari Perak Ngeh Koo Ham yang didakwa mempersoal bantahan umat Islam terhadap filem anti-Islam Innocence of Muslims.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang sebaliknya meminta kenyataan yang mengutuk penerbitan dan penyiaran filem itu pada 16 September lalu disiarkan terlebih dahulu.

NONE Dalam kenyataannya Ahad lalu, Lim ( kanan ) berkata, DAP mengecam sekeras-kerasnya filem itu kerana kurang sensitif dan bertujuan mengapi-apikan sentimen keagamaan.

Katanya, sungguhpun DAP menjunjung prinsip kebebasan bersuara dan berkreativiti, setiap karya perlu mempunyai tanggungjawab moral ke atas budaya dan kepercayaan mana-mana agama dan bangsa.

Akhbar arus perdana hari ini melaporkan, Ngeh dikecam keras pelbagai pihak dan tiga laporan polis dibuat di Perak bagi menggesa kerajaan menyiasatnya atas dakwaan "menghina Islam".

Tulisan Ngeh yang dipertikaikan itu antara lain menyebut: "(Ketua Pemuda Umno) Khairy (Jamaluddin) mahu umat Islam mengadakan protes terhadap Sam Bacile (pengarah Innocence of Muslims ). Untuk Islam atau untuk kepentingan politiknya.

"Adakah orang Islam membuang terlalu banyak masa dan tenaga untuk ini," tulisan anggota parlimen Beruas di Twitter itu dipetik.

Sementara itu, Lim berkata, DAP juga mengutuk pembunuhan Duta Amerika Syarikat di Libya dengan berkata "keganasan bukan cara untuk menyelesaikan sesuatu itu".

[Baca berita penuh]