Panduan 'jadi bos wanita': MedikTV mohon maaf
Platform video atas talian Kementerian Kesihatan MedikTV memohon maaf sekiranya tulisannya di Facebook berhubung garis panduan bagaimana menjadi bos wanita yang baik mewujudkan perasaan kurang senang pelbagai pihak.
"Pihak kami memohon maaf sekiranya entri kami mengganggu sesetengah pihak dan mewujudkan situasi kurang senang.
Setiap entri yang dikeluarkan oleh pihak kami adalah atas rasa tanggungjawab kami bagi menyampaikan maklumat mengenai kesihatan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung melalui konsep baru," kenyataannya di Facebook dipetik.
Platform itu juga memberi jaminan bahawa setiap entri mereka tidak bersikap prejudis atau menyebelahi sesetengah pihak untuk kepentingan tertentu.
"Diharap kenyataan ini dapat menjelaskan situasi sebenar dan menjernihkan keadaan yang tercetus dalam sesetengah entri kami," menurut kenyataan itu lagi.
Malaysiakini semalam melaporkan garis panduan kontroversi "cara menjadi bos wanita yang baik" muncul di Facebook MedikTV pada Mac dan sekali lagi pada 12 September dan diterbitkan semula di Facebook jabatan itu semalam.
Garis panduan itu disertakan dengan kapsyen yang mendakwa bekerja dengan 'bos' wanita selalunya penuh dengan masalah 'rigid'. Kebanyakan warga maya mendakwa ia diskriminasi.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga dengan menggesa jabatan penerangan membuangnya kerana ia dianggap seksis dan tidak adil, kerana hanya ditujukan kepada wanita.
Sementara itu, MedikTV juga menjelaskan, tulisan berhubung kesihatan yang dikeluarkannya bukan polisi dan arahan Kementerian Kesihatan tetapi atas tanggungjawab mereka sendiri.
"Segala maklum balas dan pandangan harus disalurkan kepada pihak kami tanpa melibatkan pihak lain," kenyataan itu dipetik.

