Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anggota RELA nikmati elaun hingga RM1,500 sebulan

Seramai 10,000 anggota Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang menyertai tugas rondaan bersama pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menikmati elaun bulanan baru antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan bermula dua bulan lepas.

Ketua Pengarah RELA, Datuk Mustafa Ibrahim berkata elaun tersebut merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada anggota RELA yang kebanyakannya tidak mempunyai pekerjaan dan berkhidmat secara sukarela dengan elaun harian yang kecil.

Katanya, sebelum ini anggota RELA hanya dibayar elaun antara RM10 hingga RM20 ketika diminta menjalankan tugas pengawalan di sesuatu majlis dan program anjuran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

"Transformasi terhadap Rela yang dilaksanakan kerajaan menyebabkan anggota agensi itu turut berubah dalam semua aspek selain mendapat elaun lebih tinggi di samping menjalankan tugas yang lebih mencabar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Komuniti Rela Felda Selasih, di Besut hari ini.

Turut hadir Pengarah RELA Terengganu, Ahmad Wahab, ADUN Jabi, Ramlan Ali dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abdul Malik Rani.

Mustafa berkata dengan pemberian elaun itu kerajaan dijangka membelanjakan RM7.2 juta setahun untuk membayar elaun bertugas kepada anggota yang terbabit dalam tugasan yang diarahkan oleh jabatan berkenaan.

"Mereka akan turut diberi perlindungan insurans sehingga RM40,000 jika meninggal dunia ketika menjalankan tugas rasmi ini," katanya.

Beliau berkata, minat rakyat di negara untuk menyertai RELA mula menunjukkan perkembangan positif apabila keanggotaan agensi itu kini mencapai dua juta anggota berbanding 530,000 pada 2008.

Katanya, daripada jumlah itu 5,934 anggota adalah terdiri daripada peneroka Felda yang turut serta menyertai pasukan berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS