Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah hadir ke persandingan puteri Sultan Brunei

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis istiadat persandingan Diraja anakanda Sultan Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, hari ini.

Beberapa pemimpin negara Asean termasuk Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra, Presiden Filipina Benigno S. Aquino, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan Menteri Luar Singapura K. Shanmugam turut hadir pada istiadat persandingan diraja itu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin serta Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib turut hadir.

Terdahulu, para kenamaan dibawa menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Turut berangkat adalah Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Selepas majlis menghadap, Rosmah dan tetamu kenamaan diiring masuk ke Balai Singgahsana Indera Buana untuk menghadiri istiadat persandingan Diraja, sebelum keberangkatan masuk Sultan Hassanal Bolkiah.

Majlis disusuli dengan perarakan masuk pasangan pengantin Diraja, Puteri Sultan Brunei Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dengan persalinan berwarna emas dengan sulaman ungu tepat 11.15 pagi diikuti pengantin lelaki Pengiran Haji Muhammad Ruzaini yang berpakaian sedondon, lima minit kemudian.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua mempelai Diraja itu tampil bersama di khalayak ramai selepas dinikahkan dengan penuh adat istiadat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Khamis lepas.

Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, merupakan lulusan sarjana perniagaan antarabangsa dari University of Hertfordshire, United Kingdom dan merupakan anakanda kelima Sultan Brunei.

Pasangannya Pengiran Haji Muhammad Ruzaini, yang bertugas sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas di Bahagian Perancangan dan Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Jabatan Perdana Menteri adalah lulusan ijazah ekonomi dengan kepujian dari University of Coventry, England.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual tiba petang ini bagi menghadiri majlis "Persantapan Diraja" di Dewan Santapan Diraja, Istana Nurul Iman, malam ini.

Istiadat bersanding merupakan acara kemuncak istiadat perkahwinan Diraja itu yang telah bermula sejak 16 Sept lepas yang dikenali sebagai "musim Istiadat Diraja" yang berlangsung selama 10 hari dan bakal berakhir Selasa ini.

- Bernama

ADS