Pemuda MIC akan melaksanakan program 'Ops Jelas' dalam usaha meraih sokongan masyarakat India terhadap BN menjelang pilihan raya umum ke-13.

    

Ketua Pemuda MIC T Mohan berkata program itu, yang bermula Oktober depan, antara lain akan memperjelaskan isu-isu semasa selain menerangkan program transformasi dan bantuan yang dilaksanakan kerajaan untuk menambah baik sosioekonomi kaum India di negara ini.

    

NONE "Skuad Pemuda MIC akan bekerjasama dengan belia dari pelbagai NGO bagi menggerakkan program ini secara besar-besaran," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda MIC di Ibu Pejabat MIC semalam.

Mohan yakin program itu mampu meletakkan sokongan kaum India pada tahap sehingga 70 peratus memandangkan pelbagai usaha telah dilaksanakan perdana menteri bagi menaikkan taraf ekonomi dan sosial kaum itu sejak kebelakangan ini.     "Kami amat yakin dapat mencapai sasaran ini kerana kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan tugas yang amat baik kepada kaum India," katanya.

    

Beliau berkata Pemuda MIC juga akan melantik seorang penyelaras bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah naungan MIC untuk menemui seramai mungkin masyarakat India di kawasan berkenaan.

"Kami menyasarkan untuk menemui 100,000 orang di semua sembilan kawasan Parlimen dan 19 DUN yang diwakili MIC di seluruh negara bagi memberikan khidmat yang diperlukan mereka di samping menyalurkan informasi mengenai sumbangan kerajaan terhadap kaum India selama ini," katanya.

Sementara itu, Pemuda MIC akan menganjurkan Sukan Belia India Antarabangsa  di AIMST University Malaysia, Bedong di Kedah pada 28 hingga 30 September ini.

    

Kejohanan itu, yang turut disokong Kementerian Belia dan Sukan akan disertai tujuh negara menawarkan acara bola sepak, badminton, karate-do, skuasy, tenis, boling, renang, silamban dan bina badan.

- Bernama