Pro-M yakin kuasai UKM, pro-A masih berharap
Kumpulan siswa pro-Aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masih berharap untuk merampas kembali kampus tersebut yang dikuasai wakil pelajar pro-Mahasiswa dalam pilihan raya kampus tahun lalu.
Seorang calon pro-Aspirasi, Mohamad Afiq Ammar Tulus dari Fakulti Undang-undang berkata, beliau percaya kemenangan berpihak kepada mereka walaupun pro-Mahasiswa telahpun memenangi lima kerusi tanpa bertanding.
"Secara jujurnya, sedikit sedih bila lima kerusi dah hilang awal. Tapi saya percaya calon lain mampu beri kemenangan yang berpihak pada kami," katanya ketika ditemui Malaysiakini.
Calon berusia 22 tahun ini berkata, kumpulan siswa pro-Aspirasi berkempen habis-habisan kali ini dan menyerahkan kepada pelajar untuk memilih calon yang terbaik.
"Kami telah lakukan kempen secara 'all-out'. Semua kami buat untuk kempen dan beri yang terbaik.
"Dengan manifesto kami, kami percaya pelajar bijak memilih,'' katanya lagi.
Sementara itu, seorang calon kerusi umum pro-Mahasiswa, Ahmad Shukran Shaharudin berkata, beliau yakin mereka barisan calonnya akan kembali menguasai Majlis Perwakilan Mahasiswa.
Siswa di Fakulti Sains dan Teknologi itu bagaimanapun berkata, pro-Mahasiswa masih bimbang sekiranya pilihan raya yang dijalankan di kampus berkenaan isu yang dibimbangi pro-Mahasiswa adalah pilihan raya yang tidak bersih.
"Melihat kepada pencapaian di peringkat (Majlis Perwakilan Pelajar) MPP lepas, saya yakin undi mahasiswa berpihak pada Pro-M.
"Saya bimbang dengan pilihan raya yang tidak bersih. Tapi saya tetap yakin Pro-M akan kuasai UKM.
"Cuma kalah atau menang bukan agenda utama. Menang itu bonus. Yang penting soal kebajikan pelajar kita akan terus perjuangkan," kata siswa di Fakulti Sains dan Teknologi itu lagi.
Kumpulan pro-Mahasiswa memenangi 22 kerusi daripada 27 kerusi yang dipertandingkan tahun lalu.
Pada kali ini, kedua-dua kumpulan calon merebut 19 kerusi fakulti dan lima kerusi umum.
Tempoh membuang undi tamat pada jam 5 petang ini proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Gemilang UKM bermula jam 8 malam.

