Kerajaan tetap dengan pendirian menolak dan tidak membenarkan sebarang bentuk penayangan atau penyebaran sedutan filem kontroversi 'Innocence of Muslims'.

Kerajaan juga tidak akan meluluskan penayangan filem itu yang mempunyai unsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad dan Islam sekiranya terdapat permohonan ke arah itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri telah menyemak dan mendapati siaran sedutan filem itu hanya disiarkan di laman YouTube.

"Bahagian kawalan itu telah menyemak senarai tapisan filem dan sehingga ini tiada permohonan tonton tapis diterima terhadap filem ini.

"Sekiranya ada permohonan, Malaysia melalui pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak akan meluluskan penayangan filem itu yang mempunyai unsur bercanggah dengan akidah Islam dan menggugat ketenteraman awam," katanya ketika membahaskan usul mengenai filem itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu dikemukakan untuk dibahas oleh Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian).

Mohamed Nazri berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Google Malaysia dan YouTube yang berpangkalan di luar negara, meneruskan usaha memantau setiap hari bagi menghalang akses kepada video itu.

Beliau berkata sehingga semalam, 324 pautan yang menayangkan salinan video itu telah disekat oleh YouTube.

"Pagi ini sahaja, senarai 71 pautan baru telah dikemukakan kepada pihak YouTube untuk siasatan dan sekatan akses di Malaysia," katanya.

Pada 17 Sept lepas, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melalui SKMM telah menghantar permohonan untuk menyekat sedutan tayangan video itu di Malaysia.

"Namun kekangan yang dihadapi adalah disebabkan tindakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab memuatnaikkan salinan-salinan video itu semula," kata Mohamed Nazri.

Beliau berkata KDN masih meneruskan pemeriksaan untuk memastikan tiada penyebaran atau penjualan pita filem itu di pasaran Malaysia, dan setakat ini tiada sebarang bentuk pengedaran atau penjualan ditemui di negara ini.

Sementara itu, 10 anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang yang mengambil bahagian dalam perbahasan hari ini sepakat mengutuk sekeras-kerasnya penayangan filem kontroversi itu.

Anggota Parlimen Bagan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata usaha untuk memperkecilkan mana-mana agama tidak harus dibenarkan.

"Hari ini agama Islam, mungkin hari esok agama-agama lain (ditimpa nasib serupa)," katanya.

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan penayangan filem yang mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam seluruh dunia itu.

"Ia jelas melampau batas kebebasan bersiaran dan melepasi batas Islam yang boleh mencemar hubungan baik dan toleransi antara agama," katanya.

Antara yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan itu ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS yang juga Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Salahuddin Ayub, Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi, Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali dan Anggota Parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan.

- Bernama