Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata masyarakat perlu menghargai pengorbanan anggota polis dan tidak mengambil mudah risiko yang mereka hadapi tatkala berhadapan dengan ancaman jenayah.

    

Beliau berkata masyarakat perlu lihat dari sudut pengorbanan anggota keselamatan itu dalam menjaga keamanan negara dan bukan mengkritik atau memperlekehkan polis apabila berlaku insiden membabitkan anggota keselamatan itu.

    

"Pengorbanan anggota polis ini tidak diberikan fokus, sebaliknya mereka lebih suka mensensasikannya...mungkin pihak-pihak itu lakukannya sebab politik, kerana nak timbulkan kebencian dan macam-macam lagi.

    

"Mereka harus berhenti seketika, lihat apa yang berlaku kepada dua  anggota kita dan fikir masa depan kita bersama sebagai satu bangsa dan negara," katanya kepada pemberita selepas melawat dua anggota polis yang cedera ditembak empat lelaki di Kuchai Lama kelmarin di Pusat Perubatan Universiti Malaya semalam.

Dalam kejadian kira kira jam 6.45 petang itu, dua anggota berkenaan ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki di persimpangan lampu isyarat di kawasan lebuhraya KL-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama.

    

Tembakan tersebut menyebabkan Koperal R.Subramaniam, 52, cedera di bahagian perut dan rakan setugasnya Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, cedera di leher.

    

Hishammuddin dalam pada itu mengucapkan tahniah dan berbangga dengan kedua-dua anggota polis tersebut yang disifatkannya sebagai orang yang mempunyai semangat yang tinggi dan luar biasa.

    

"Saya bagi jaminan bahawa kebajikan mereka, keluarga mereka akan tetap dibela," katanya.

    

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis sudah ada petunjuk berhubung kejadian itu dan siasatan segera akan dilakukan bagi menyelesaikan kes tersebut.

    

"Saya sudah arahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dan timbalannya Datuk Abu Samah Mat untuk selesaikan kes ini cepat," katanya.

    

Katanya kedua-dua anggota polis itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan menembak penjenayah selepas penjenayah itu melepaskan tembakan ke arah polis terlebih dahulu.

- Bernama