Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merancang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan, kali ini dalam bentuk deklamasi puisi dan konsert rock.

"Konsert ini adalah untuk bersantai, bergembira sambil mengingatkan pemimpin kerajaan tentang tanggungjawab yang mendesak agar mereka melakukan reformasi penambahbaik sistem pilihan raya," kata jawatankuasa pemandu itu dalam satu kenyataan.

NONE "Konsert 8T" itu menggabungkan persembahan golongan anak muda – daripada kumpulan indie Republic of Brickfields, Dum Dum Tak, dan Hui Se De Dai dan orang lama daripada kumpulan Blues Gang – Ito dan Julian Mokhtar and The Gang.

Selain itu, acara pada 13 Oktober di Stadium Kelana Jaya itu juga akan menampilkan pengucapan puisi khas daripada Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang juga merupakan pengerusi bersama BERSIH 2.0

Gabungan NGO itu berkata, lima bulan sudah berlalu selepas perhimpunan BERSIH 3.0 yang disertai 100,000 pada 28 April namun kerajaan masih "berdegil dan tidak mahu mendengar suara rakyat".

"Tuntutan pilihan raya bersih dan adil tidak dipedulikan. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli jawatankuasa BERSIH 2.0 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyatakan hasrat untuk menyaman ahli jawatankuasa.

"Walau apa pun berlaku, BERSIH 2.0 akan terus bertekad untuk menimbulkan kesedaran orang ramai tentang kemusykilan yang serius dalam senarai pengundi," kenyataan itu dipetik.