Berita Malaysiakini

Surat 'cinta' Anwar pada Azizah dilelong RM50,000

Zulaikha Zulkifli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Surat cinta Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendapat bidaan paling tinggi apabila dibeli dengan harga RM50,000 pada Majlis Makan Malam Perdana Pakatan Rakyat di Stadium Melawati Shah Alam malam tadi.

Majlis makan malam yang bertujuan bagi mengumpul dana pilihan raya Pakatan Rakyat itu juga turut menyaksikan Wan Azizah membacakan surat 'cinta' yang ditulis Anwar semasa beliau berada dalam penjara Sungai Buloh sebelum dibeli.

Surat itu dibida dengan harga pembukaan RM50,000 dan dibeli oleh ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin.

Antara kandungan surat cinta itu bertulis supaya Wan Azizah berhati-hati dalam memberikan makanan kepada Anwar dan menjaga anak-anak mereka.

"Saya dah beri banyak barang untuk dilelong pada malam ini. Tetapi bila ditanya apakah benda paling berharga atau apa-apa yang dari penjara, lalu saya terfikirkan surat ini.

"Minta maaf jika saya menangis. Tetapi semasa saya tengok surat ini pun saya sudah menangis. Surat ini Anwar beri secara sembunyi dengan meletakkan di fail dokumen peguam," kata Wan Azizah sebelum membacakan surat tersebut.

Selain surat 'cinta' tersebut, terdapat beberapa lagi barangan milik pimpinan Pakatan Rakyat yang dilelong untuk tujuan pengumpulan dana kewangan pilihan raya.

Lukisan karikatur Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque yang diberi nama '"Kuasa Rakyat" pula mendapat bidaan kedua tertinggi apabila dibeli dengan harga RM32,000.

Kutipan penuh RM182,000

Zunar melukiskan karikatur itu secara langsung di atas pentas sebelum lukisan itu dibeli.

Antara barangan milik pimpinan Pakatan yang menarik perhatian untuk dilelong ialah sebuah patung beruang milik exco kanan kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok yang mendapat bidaan sehingga RM10,000.

Menurut pengerusi majlis makan malam itu, patung beruang tersebut menjadi peneman tidur Teresa selama beberapa tahun sebelum beliau dengan rela hati memberinya untuk tujuan lelongan amal bagi mengumpul dana.

pakatan mega dinner anwar love letter 280912 Antara barangan lain yang dilelong ialah sebuah gambar dan tongkat milik Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dibeli dengan harga RM12,000.

Gambar yang dilelong merupakan sebuah gambar yang diambil sehari sebelum beliau dimasukkan ke hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian bagi tujuan rawatan kesihatan manakala tongkat tersebut merupakan tongkat yang sering digunakan oleh Nik Aziz.

Barangan lain yang dilelong pada malam tadi juga ialah pen milik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang digunakan untuk menulis surat semasa di penjara Kajang yang dibeli dengan harga RM23,000, sebuah gambar yang diambil pada tahun 80-an milik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedang bersantai ditepi laut beserta topi nelayan dibeli dengan harga RM17,000.

Sebuah gambar Pengerusi DAP Karpal Singh juga turut dibeli dengan harga RM12,000. Gambar dalam bentuk poster filem itu turut ditulis dengan perkataan 'Singh is king'.

Gambar graduasi hitam putih milik bekas timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali turut dibeli dengan harga RM15,000 dan sebuah gambar dan plat kubah milik bekas presiden PAS, allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dibeli dengan harga RM11,000.

Jumlah kutipan bagi keseluruhan hasil daripada bidaan ini ialah sebanyak RM182,000.