Kumpulan masyarakat sivil pelbagai bidang menyuarakan pandangan masing-masing terhadap Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan di Parlimen petang semalam.

Berikut intipati pandangan mereka yang dilaporkan:

Majlis Kanser Negara (Makna)

Semasa mengalu-alukan inisiatif pemeriksaan mamogram percuma kepada wanita, Pengurus Besar Majlis Kanser Negara (Makna), Farahida Mohd Farid berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan program berkenaan.

"Jika terdapat kekurangan kemudahan mesin, pihak kami mungkin boleh membantu kerajaan mencari penyelesaian terhadap perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata purata seseorang itu perlu mengeluarkan antara RM180 hingga RM250 untuk menjalani setiap pemeriksaan mamogram.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan pengurangan subsidi gula sebanyak RM0.20 dalam Belanjawan 2013.

Naib Presiden Fomca Siti Rahayu Zakaria berkata golongan peniaga, terutama peniaga makanan, tidak harus berbuat demikian meskipun harga gula akan meningkat selepas ini.

Bagaimanapun, Siti Rahayu menyifatkan tindakan mengurangkan subsidi gula satu langkah yang baik bagi membolehkan rakyat menilai semula gaya hidup mereka kerana penduduk Malaysia merupakan yang kedua tertinggi di Asia menghidap diabetis.

Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan

Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan Ahmad Othman menyambut baik pengurangan subsidi gula dan meminta pengguna memanfaatkannya demi menjaga kesihatan.

Beliau berkata pengurangan subsidi gula adalah wajar jika mengambil kira jumlah rakyat Malaysia yang menghidap diabetis ketika ini, iaitu 2.6 juta orang.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia Datuk Mohd Firdaus Abdullah pula berkata Belanjawan 2013 mampu mengurangkan beban rakyat, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur

Yang DiPertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur Samsudin Mohamad Fauzi berkata belanjawan yang dibentang Perdana Menteri hari ini umpama hadiah besar kepada pengguna.

Beliau berkata rakyat negara ini perlu menghayati keistimewaan belanjawan kali ini dan bersyukur dengan insentif yang kerajaan berikan.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)

Ketua Eksekutif LTAT Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata kerajaan membuat pelbagai usaha bagi meringankan beban anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen, menerusi peruntukan sebanyak RM224 juta.

"Ini dijangka memberi kesan positif kepada 224,000 bekas tentera dan ia sejajar dengan aspirasi LTAT menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat)," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Persatuan Orang Kurang Upaya Selangor dan Wilayah Persekutuan Damai

Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Selangor dan Wilayah Persekutuan Damai, V Murugeswaran berkata pihaknya mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana mewujudkan taska untuk OKU - sesuatu yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

"Dengan perkembangan terbaru ini, sekolah-sekolah berkenaan akan mesra OKU dengan segala kemudahan sewajarnya berbanding situasi sekarang di mana tidak banyak sekolah dilengkapi kemudahan berkenaan," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Orthopaedically Handicapped

Presiden Orthopaedically Handicapped Lim Khoon Chuan berkata peruntukan itu perlu ditumpukan kepada terapi untuk OKU.