Tiga, termasuk sepasang suami isteri, maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 38 Jalan Kluang-Ayer Hitam berhampiran Kampung Manong di Johor Bahru hari ini.

    

Ketua Polis Daerah ACP Din Ahmad berkata dalam nahas kira-kira 12.30 tengah hari itu, Imam Masjid Taman Kasih Kluang Osman Binti, 68, dan isteri, Saleha Osman, serta kerani sekolah Isnah Othman, 52, meninggal dunia di tempat kejadian.

    

Suami Isnah, Jumat Talib, 52, bersama dua anak saudaranya dilaporkan parah dan dirawat di Hospital Batu Pahat (HBP) serta Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Osman dari arah Ayer Hitam menuju Kluang tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kenderaan dipandu Jumat.

    

"Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang Proton Waja serta penumpang sebuah lagi kereta cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    

"Tiga lagi mangsa yang menaiki Proton Wira turut cedera parah dan dirawat di HBP, termasuk seorang dihantar ke HSA untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

    

Sementara itu, di Kota Tinggi, dua termasuk seorang anggota polis maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 11 Jalan Lok Heng-Mawai dekat Johor Bahru pada jam 9.14 pagi.

    

Ketua Polis Daerah Superintenden Che Mahazan Che Aik berkata dalam kejadian itu, Koperal Daud Talib, 46, rentung selepas tersepit di tempat duduk sebelum van yang dipandunya terbakar.

    

Kejadian berlaku ketika kenderaan yang dinaiki mangsa bersama isteri, empat anak dan tiga anak saudara mereka dalam perjalanan dari rumah di Felda Lok Heng Barat menuju Tanjung Balau untuk beriadah, bertembung sebuah kereta yang terbabas.

    

Che Mahazan berkata kereta itu dipandu pekerja kilang elektronik Adibah Hashim, 48, yang turut meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Amirul Fahmi Mohd Amin, 12, cedera ringan.

- Bernama