MP Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata beliau akan mencadangkan untuk memotong gaji menteri perdagangan dalam negeri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa masih gagal mengambil tindakan ke atas syarikat yang dikaitkan dengan Umno.

Katanya, beliau akan mengemukakan cadangan di Dewan Rakyat untuk memotong RM10 daripada gaji Ismail Sabri dan juga gaji ketua pegawai eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Mohd Naim Daruwish atas alasan sama.

"Kenapa SSM gagal bertindak terhadap syarikat berkaitan personaliti tertinggi Umno ini,?" katanya yang mempersoalkan tindakan tangkas SSM bertindak ke atas Suara Inisiatif Sdn Bhd – syarikat berdaftar NGO Suaram Rakyat Malaysia (Suaram).

NONE Beliau seterusnya membangkitkan mengenai syarikat National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) – rakan niaga dalam perusahan penerbangan tambang murah Malindo Airways.

Dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini, beliau mendakwa, syarikat berkenaan tidak mengemukakan akaun yang diaudit sejak 2007.

Namun kerajaan pada bulan lalu menganugerahkan kepada anak syarikat tersebut satu lesen untuk mengendali syarikat penerbangan di Malaysia, yang dilancarkan tidak lain daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri, katanya.

"Pengerusi syarikat ini ialah Jeneral (B) Tan Sri Mohd Hashim Mohd Ali, yang merupakan ipar kepada (bekas perdana menteri, Tun) Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Tambahnya, beliau membuat dakwaan itu berdasarkan laporan kewangan syarikat tersebut yang dikemukakan kepada SSM.

Beliau mendakwa syarikat berkenaan melanggar Akta Syarikat 1965 kerana antaranya gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan dan memfailkan laporan tahunan beserta laporan kewangan yang diaudit kepada Pendaftar Syarikat.

Dakwanya lagi, sebuah lagi syarikat, YGP Holdings Sdn Bhd, juga tidak memfailkan akaun yang diaudit sejak 31 Disember 2006.

Pengarah syarikat tersebut adalah MP Rembau Khairy Jamaluddin, MP Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan, manakala seorang pemegang sahamnya ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dakwanya.

Selain itu, beliau juga membangkitkan mengenai National Feedlot Corporation, yang didakwanya tidak memfailkan akaun yang diaudit sejak 31 Disember 2009.

Turut disenaraikan Tony Pua adalah Real Food Company Sdn Bhd dan National Meat & Livestock Company Sdn Bhd yang didakwa gagal memfailkan akaun mereka sejak 30 Jun 2007 lagi.

"Berdasarkan ketegasan mendadak SSM dalam menguatkuasa dan mendakwa entiti yang berjuang untuk hak rakyat Malaysia, kami menuntut SSM ambil tindakan tegas terhadap syarikat di atas dan bawa pengarah mereka ke mahkamah," kata Pua.