Ketua penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata laporan ketua audit negara yang dijangka dikeluarkan minggu ini bakal menyedarkan rakyat mengenai "candu" yang ditawarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan belanjawan minggu lalu.

"Ini kerana, laporan audit dua tahun kebelakangan ini mendapati betapa kerajaan gagal melakukan pembaikan, walaupun ianya ditegur setiap tahun oleh ketua audit negara.

pas muktamar 130610 tuan ibrahim tuan man "BN sudah tentu ingat bagaimana mereka hampir tidak melakukan apa-apa dalam isu NFC (National Feedlot Corporation), berdiam seribu bahasa dalam isu pembelian komputer RM40,000 dan juga binokular bernilai RM56,350," katanya.

Dalam kenyataannya itu, Tuan Ibrahim juga berkata, buah tangan yang diumumkan Najib dalam belanjawan 2013 hanya akan menggembirakan penerima tersebut untuk tempoh sementara.

"...Sedangkan, peningkatan kos hidup terus bertambah dan seluruh rakyat menerima bebanan berterusan.

"Ini umpama candu yang melalikan dan melalaikan buat sementara waktu tapi perit kesakitannya pasti mengunjung tiba, bahkan barah itu bakal ditanggung generasi akan datang," katanya lagi.

Katanya, "belanjawan gula-gula" itu, yang antara lainnya mengumumkan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia pusingan kedua, menunjukkan bahawa Najib hanya ingin "menghabiskan dana negara".

NONE "(Belanjawan) yang menumpukan kepada pemberian one-off merupakan gambaran ketandusan idea seorang pemimpin bagi memakmurkan ekonomi rakyat, menjana pendapatan dan mencari jalan bagi menerajui masa depan ekonomi negara yang lebih berdaya saing," katanya.

"Asas kepada pembinaan ekonomi negara  bukan hanya dilihat kepada apa yang dicurah, tetapi juga sejauh mana asas kawalan perbelanjaan negara diurus.

"Dengan kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu, tindakan PM dilihat hanyalah untuk menghabiskan dana negara dalam bentuk pemberian one-off bagi menarik golongan sasar di kalangan pengundi baru untuk membeli jaminan kerajaan korup ini terus berkuasa," katanya.

Dalam ucapan belanjawan itu, Najib antara lainnya mengumumkan bayaran tunai melalui BR1M yang kini layak diterima oleh golongan bujang berusia bawah 21 tahun dan berpendapatan bawah RM2,000 sebulan.

Menteri kewangan itu berkata, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan untuk skim tersebut - melibatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta warga bujang.