Ketua Menteri Lim Guan Eng telah menghantar surat peguam kepada seorang pemimpin Pemuda BN kerana menuduhnya korup, yang dianggap oleh Lim sebagai berniat jahat berhubung rumah sewannya di Jalan Pinhorn.

NONE Lim, yang juga setiausaha agung DAP menghantar surat  itu kepada Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, H'ng Khoon Leng (kanan), yang didakwanya telah mengucapkan perkataan tersebut pada 24 September.

Setiausaha politik Lim - Ng Wei Aik  - membaca kepada pemberita kandungan surat itu yang dihantar melalui firma guaman Karpal Singh and Co. Ia menuntut H'ng menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf dalam masa tujuh hari.

Surat yang dihantar pada 26 September itu menyebut bahawa penarikan balik dan pemohonan maaf itu mestilah mengandungi perkataan yang diluluskan oleh pihak Lim dan disiarkan dalam media massa dan elektronik termasuk Internet.

H'ng, yang juga ketua penerangan Pemuda BN negeri, telah mempersoalkan hubungan Lim dengan pemilik rumah sewanya itu, yang merupakan pengarah dan pemegang saham sebuah syarikat yang anak syarikatnya membeli sebidang tanah di Taman Manggis dari kerajaan negeri.

Ketika dihubungi, H'ng berkata beliau masih belum menerima surat tersebut.

Apabila diberitahu bahawa ia telah dihantar ke pusat perkhidmatan BN Tanjung di Lebuh Macallum, H'ng berkata: "Ng harus lebih profesional, surat itu sepatutnya dihantar ke ibupejabat Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister."

H'ng berkata beliau tidak mahu mengulas sehingga melihat surat tersebut, sambil menambah beliau tidak takut berdepan dengannya.

"Saya mungkin singgah untuk mengambil surat itu dari pejabat Karpal Singh (di Jalan Greenhall), katanya kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]