YBGK bantu 13,046 orang dalam pendengaran reman
Badan Peguam Malaysia menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung peruntukan tambahan RM20 juta bagi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) di bawah Belanjawan 2013.
Presidennya Lim Chee Wee berkata peruntukan ini adalah petanda jelas komitmen kerajaan bagi memastikan representasi undang-undang bagi mereka yang ditangkap.
"Dengan memberi makna sebenar kepada Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa apabila seseorang itu ditangkap, dia perlu dibenarkan untuk berunding dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya adalah dianggarkan kira-kira 39,000 rakyat Malaysia ditangkap oleh polis setiap tahun dan antara April dan Julai tahun ini, peguam-peguam YBGK membantu 13,046 orang dalam pendengaran reman dan sejumlah 254 fail jenayah dibuka.
Beliau berkata badan itu menaruh harapan agar kerajaan terus menyokong bagi memastikan kejayaan dan kelestarian program bantuan guaman yang komprehensif bagi mereka yang terperangkap dalam sistem keadilan jenayah.
- Bernama

