Mahkamah benar permohonan cabar kebolehpercayaan Kadir
dikemaskini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan prosiding mencabar kebolehpercayaan terhadap bekas terhadap menteri pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam perbicaraan kes penipuan tanah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang membabitkan bekas menteri pengangkutan Tun Ling Liong Sik.
Hakim Ahmadi Asnawi berkata, beliau sedar terdapat unsur percanggahan terhadap keterangan lisan Abdul Kadir dan dengan yang direkodkan dalam kes pembelian tanah PKFZ.
Ahmadi berkata, selepas membandingkan keterangan bertulis dengan keterangan lisan, mahkamah bersetuju untuk mencabar kebolehpercayaan saksis seperti yang dipohon oleh pendakwaraya bawah seksyen 155 Akta Keterangan 1950.
Timbalan Peguam Cara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah sewaktu memohon untuk mencabar kebolehpercayaan Kadir berkata, terdapat percanggahan terhadap keterangan saksi dan kenyataan peringatan yang direkodkan oleh polis bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Ahmadi bersetuju dengan permohonan Tun Majid mengikut Seksyen 155 Akta Keterangan 1950, di mana ketika rakaman percakapan dilakukan pegawai penyiasat Supt R. Rajagopal pada 6 Julai tahun lalu di bawah Seksyen 112 akta itu, berlaku percanggahan dengan keterangan saksi pembelaan ketiga itu, di mahkamah semalam dan hari ini.
Tun Majid memberitahu mahkamah bahawa Abdul Kadir ketika rakaman dibuat, bersetuju bahawa harga muktamad untuk pembelian tanah seluas 1,000 ekar untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah RM1.08 bilion, berbanding dengan keterangan lisan beliau di mahkamah bahawa ia perlu disertakan dengan pembayaran faedah sebanyak 7.5 peratus menjadikan keseluruhan RM1.88 bilion.
Menurutnya, Abdul Kadir juga dalam rakaman percakapannya, sekiranya wujud sebarang perubahan pada harga pembelian ia perlu dirujuk semula ke kabinet untuk keputusan tetapi di mahkamah beliau telah memberi keterangan ia tidak semestinya dan keputusan boleh dibuat oleh pegawai di Kementerian Kewangan ataupun kementerian berkenaan.
Ahmadi menetapkan Isnin depan untuk membolehkan kedua-dua pihak membuat hujahan masing-masing mengenai isu sama ada pihak pendakwaan perlu memberikan keseluruhan kenyataan rakaman percakapan Abdul Kadir ataupun hanya bahagian yang didakwa berlaku percanggahan di pihak saksi.
Tun Majid sebelum itu berkata mengikut keputusan kes-kes mahkamah sebelum ini pihak pendakwaan hanya perlu menyediakan bahagian yang menjadi persoalan dan bukan keseluruhan kenyataan itu.
Peguambela Wong Kian Kheong berkata pihaknya perlu diberi peluang berhujah mengenai perkara itu kerana ia melibatkan isu perundangan yang penting dan pihak pembelaan berhak memelihara kebolehpercayaan saksinya.
Wong juga berhujah bahawa salinan rakaman percakapan sepenuhnya perlu dikemukakan di mahkamah bukan sahaja untuk kepentingan pihak pendakwaan tetapi juga untuk mahkamah mencapai keputusan yang adil kepada semua pihak mengenai isu
itu.
Sementara itu, Tun Majid juga memberitahu mahkamah hari ini bahawa pihaknya juga akan membuat bantahan awal mengenai sebarang permohonan pihak pembelaan untuk mengeluarkan sapina terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dr Ling, 69, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahunadalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang
berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
Beliau juga menghadapi pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu M1,088,456,000.
Ling, didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

