Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelabur rayu Genneva dibenar operasi semula
Diterbitkan:  Oct 5, 2012 2:48 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Pelabur dan jururunding Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva) di Pulau Pinang merayu agar syarikat itu dibenar beroperasi semula kerana penutupan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak awal minggu ini menjejaskan pendapatan mereka.

    

Jururunding cawangan Pulau Pinang, Nordiana Nasaruddin berkata terdapat kira-kira 8,000 pelabur di negeri itu dan kebanyakannya adalah pesara yang bergantung kepada pulangan daripada pelaburan emas berkenaan sebagai pendapatan.

    

Apabila syarikat tidak beroperasi, maka golongan ini menghadapi masalah untuk menyara kehidupan mereka, katanya pada sidang media, di George Town.

    

Seorang pelabur, Mary Irende, 56, yang terbabit dalam skim itu sejak tiga tahun lepas, berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campurtangan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

    

"Saya memang menggunakan sepenuhnya keuntungan daripada jual-beli emas ini untuk menampung perbelanjaan setiap bulan, apabila terjadi perkara seperti ini saya sangat tertekan,"  katanya.

    

Pada 1 Oktober lepas BNM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengadakan serbuan terhadap Genneva.

    

Syarikat yang mempunyai sekutu di Singapura, China, Hong Kong dan Filipina itu diserbu  kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang ditadbir agensi-agensi penguat kuasa berkenaan.

- Bernama

ADS