Wartawan Utusan nafi laporannya 'penipuan semata-mata'
Seorang wartawan Utusan Malaysia hari ini mempertahankan laporannya pada Ahad lalu yang disifatkan sebagai "penipuan semata-mata" oleh dua orang pemimpin Krisitian yang menjadi sumber dalam laporan tersebut.
Akhbar berkenaan hari ini melaporkan, wartawannya J Kasthuri mendakwa telah memaklumkan secara khusus kepada pemimpin Kristian terbabit supaya mengulas mengenai program dialog yang dihadiri setiausaha agung DAP Lim Guang Eng.
Kenyataannya itu bagi mempertahankan dakwaan Biskop Gereja Lutheran Evangelical, Solomon Rajah dan bekas presiden Majlis Gereja Malaysia Thomas Philips bahawa kenyataan mereka dilaporkan di luar konteks dalam berita bertajuk 'Gereja bukan tempat politik' itu.
Kedua-dua paderi itu menjelaskan bahawa pemberita berkenaan hanya menghubungi mereka untuk mendapatkan pandangan umum mengenai "gereja dan politik" dan bukan reaksi atau ulasan kepada dialog antara Lim Guan Eng dengan pemimpin gereja di negeri tersebut.
"Saya memperkenalkan diri sebagai wartawan Utusan Malaysia dan memberitahu mahu serba sedikit ulasan mereka mengenai perkara itu.
"Pertama sekali saya menghubungi Solomon untuk mendapatkan pendapat umum beliau mengenai tindakan Guan Eng yang menyeru penganut Kristian tidak berdiam diri walaupun merasakan mereka 'tidak bersalah, suci dan tidak terlibat dalam perbuatan salah'.
"Selepas memperoleh pendapat beliau (Solomon) saya bertanyakan kepadanya sama ada saya boleh memetik percakapan tersebut dan beliau membenarkannya," dakwanya Kasthuri seperti dipetik akhbar milik Umno itu.
Wartawan itu juga mendakwa mengambil tindakan sama ketika menghubungi Philips.
Solomon dan Philips semalam membuat sidang akhbar bersama setiausaha agung Majlis Gereja Malaysia Hermen Shastri untuk menafikan laporan berkenaan.
Mereka menuntut supaya akbar edisi Ahad Utusan Malaysia itu menarik balik laporan berkenaan dan mengeluarkan permohonan maaf dalam edisi mereka selepas ini

