Naib presiden Badan Peguam Malaysia Christopher Leong Sau Foo berkata, beliau melihat polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke tengah-tengah kumpulan peserta perhimpunan yang terkepung pada 28 April lalu.

Beliau yang bertugas sebagai peguam pemerhati ketika perhimpunan BERSIH 3.0 itu berkata beliau melihat polis bertindak demikian walaupun peserta perhimpunan tiada ruang untuk melarikan diri.

Katanya, beliau mendapati polis melepaskan gas pemedih mata sebanyak dua kali di kawasan jalan sempit di Jalan Melayu pada kira-kira jam 3 petang.

NONE Pada waktu itu, sekumpulan peserta perhimpunan lagi datang dari arah bertentangan menjadikan jalan itu "tersekat", katanya.

Christopher berkata, ketika itu beliau bersama seorang lagi peguam pemerhati, Steven Thiru, seorang jurugambar dan tiga lagi peguam pemerhati.

"Ketika pukul 3 saya nampak asap dan kemudian saya sedar itu adalah gas pemedih mata. Selepas beberapa minit, apabila gas mula hampiri, kami buat keputusan untuk berganjak.

"Ketika saya berpusing, saya melihat polis sedang menuju ke arah peserta dan menembak gas pemedih mata ke tengah-tengah peserta. Saya ketika itu memang berada di tengah orang ramai. Kanister gas pemedih mata jatuh berhampiran saya, dua kali.

"Kami semua tidak dapat bergerak dengan pantas. Ada satu ketika kami semua tidak bergerak langsung dan sangat mustahil untuk berpatah balik," katanya.

Ketika berada di kawasan tersebut, beliau juga melihat seorang wanita yang terkena kanister gas yang ditembak polis, kata Christopher.

Wanita itu, Chong Min Shih yang terkena tembakan di bahagian leher merupakan saksi keempat yang memberi keterangan dalam siasatan awam tersebut.

Chistopher turut ditanya oleh pengerusi panel siasatan, Datuk Dr Khaw Lake Tee berhubung tujuannya melalui Jalan Melayu dalam kejadian tersebut.

Christopher berkata jalan itu merupakan jalan yang "logik" untuk dilaluinya kerana tiada pilihan untuk melalui jalan lain.

"Dengan jumlah orang yang besar dan ditembak dengan gas pemedih mata dua kali, itulah tempat yang paling logik untuk lari daripada gas pemedih mata," katanya yang menambah, kejadian itu berlaku dengan pantas.

Beliau berkata demikian pada sesi siasatan awam berkenaan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa dan selepas perhimpunan 28 April di ibu pejabat Suhakam hari ini.

Sesi siasatan awam ini akan bersambung esok pada jam 9.30 pagi.