Penjajaran semula sebahagian jalan Bkt Bintang 19 Okt
Sebahagian Jalan Bukit Bintang hingga ke persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bulan 1, off Jalan Bukit Bintang, akan dibuat penjajaran semula selama 16 bulan mulai 15 Oktober bagi memudahkan kerja pembinaan stesen MRT Bukit Bintang.
Dalam kenyataan hari ini, MRT Corp berkata penjajaran semula sementara itu tidak melibatkan pengurangan tiga lorong seperti yang ada sekarang, termasuk di kawasan kerja berkenaan dijalankan.
Katanya pelan pengurusan lalu lintas yang cekap akan disediakan, manakala papan tanda dan kon akan dipasang di tapak pembinaan bagi menjamin
keselamatan pengguna jalan raya dan pejalan kaki.
"MRT Corp memohon maaf atas kesulitan sementara yang dialami orang ramai sepanjang tempoh pembinaan itu. Kami sedang membina kemudahan
pengangkutan awam bertaraf dunia yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia pada masa akan datang," kata kenyataan itu.
Pasukan Respons Kecemasan (ERT) juga akan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia sepanjang masa di kawasan terbabit untuk memastikan respons segera dapat diberi sekiranya berlaku kemalangan.
Saluran Sungai Buloh-Kajang akan mempunyai 31 stesen yang memberi perkhidmatan kepada 1.2 juta penumpang di sepanjang laluan berkenaan. Ia juga akan disambung secara strategik dengan rangkaian pengangkutan rel sedia ada di Kuala Lumpur dan laluan bas intra dan antara bandar.
- Bernama

