Seorang aktivis pelajar, Ahmad Zaki Yamani, yang dipecat dari Universiti Teknologi Mara pada Mei tahun lalu membatalkan samannya terhadap institusi itu. Beliau dipecat atas tuduhan menyertai perhimpunan haram pada 14 April tahun itu, hari bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun.

Zaki, bagaimanapun, mendakwa UiTM tidak memanggilnya membela diri dalam perbicaraan tatatertib sebelum memecatnya. Menurutnya lagi, polis pula tidak pernah menangkap atau menyiasatnya atas tuduhan menyertai perhimpunan haram.

Menurut Penyelaras Suaram, Justin Yong, aktivis pelajar itu membatalkan samannya selepas menjangkakan kes itu sukar dimenanginya dan sebaliknya akan menanggung kos antara RM20,000 hingga RM30,000.

Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) itu hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bersama hampir 20 pemimpin dari beberapa organisasi pelajar, untuk menyelesaikan kes itu.

Bagaimanapun, peguam bagi pihak UiTM memberitahu mahkamah bahawa Zaki tidak dibenarkan memberikan sebarang kenyataan berhubung isu ini dalam media cetak atau elektronik.

Menurut Yong, peguam kedua-dua pihak berusaha menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dan aktivis itu dikenakan syarat tidak boleh mengeluarkan kenyataan umum.

"Kes ini mendedahkan betapa sistem keadilan di negara ini telah mendiskriminasi dan menafikan hak siswa," kata jurucakap Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Tan Chiaw Wei kepada malaysiakini hari ini.

Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) menyifatkan UiTM membuat keputusan tanpa mengikut tatacara yang sewajarnya.

"Perkara ini tidak sepatutnya terjadi," kata Presiden Gamis, Mohd Huzairi Husain, mengulas kes Zaki.

Beliau yang turut hadir di mahkamah hari ini bagi menyatakan sokongan kepada Zaki memberitahu malaysiakini bahawa pihak universiti kini semakin mudah mengambil tindakan yang keras terhadap pelajar.

Huzairi menyebutkan contoh terbaru seorang pelajar Universiti Utara Malaysia yang digantung selama tiga semester atas tuduhan "memalukan UUM" dan "bercakap selepas tamat tempoh masa" dalam satu forum.

Forum itu dihadiri oleh seorang wartawan Utusan Malaysia yang dianggap kontroversi, Astora Jabat.