Isteri kepada Hoslan Hussin yang dijatuhkan hukuman penjara setahun di atas kesalahan menghina mahkamah kerana melemparkan selipar ke arah panel hakim akan menjemput suaminya itu esok sebaik dibebaskan.

NONE Noorliza Mat Isa, 43, berkata beliau akan menjemput Hoslan di pejabat parol Bandar Tun Razak selepas suaminya itu dari Penjara Kajang.

Bagaimanapun, berita gembira itu tidak dapat disambut seisi keluarga memandangkan anak bongsunya kini menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Namun, beliau tetap syukur kerana keluarganya akan dapat meraikan Hari Raya Aidiladha bersama Hoslan, yang masih menjalani hukuman penjara ketika Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Alhamdulillah dapat juga kami semua beraya haji dengan Imam (Hoslan). Insya Allah esok dalam lepas Zohor saya bersama rakan dan adik ipar akan menjemput Imam.

NONE "Anak tak dapat ikut sebab yang bongsu baru dimasukkan ke wad kerana denggi. Sedangkan dia yang paling semangat untuk jemput Imam. Tapi nak buat macam mana, ujian Allah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Mahkamah Persekutuan pada April lalu menolak permohonan Hoslan untuk meringkankan hukuman penjara setahun yang dijalaninya sejak Mac, atas kesalahan menghina mahkamah berkenaan.

Hoslan pada 22 Februari lalu bertindak membaling alas kakinya ke arah panel tiga hakim mahkamah tersebut, selepas permohonannya supaya diberi kebenaran untuk membuat rayuan ditolak.

Dalam kejadian itu, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin dilaporkan cuba menenangkan Hoslan namun beliau dikatakan enggan mendengar alasan mahkamah untuk membenarkan bantahan ke atas permohonannnya.

NONE Hoslan seterusnya mencampakkan kasutnya ke arah panel hakim yang hampir mengenai seorang daripda mereka.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama  adalah Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari.

Berikutan kejadian itu, Ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat satu laporan polis terhadap Hoslan, dan mahkamah tersebut menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atasnya pada 8 Mac.