Arahan henti segera bina tandas atas tanah kubur
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) mahu kerja-kerja pembinaan sebuah tandas di atas tanah kubur di Masjid Jamek Kota Aur, Penaga di sini dihentikan sementara bagi membolehkan pihaknya merujuk kes itu kepada Jabatan Mufti Negeri.
Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata JHEAIPP menerima aduan rasmi daripada anak kariah berhubung perkara itu pada Khamis lepas dan pegawainya telah membuat tinjauan untuk melihat projek berkenaan.
"Pada 5 Oktober lepas, JHEAIPP juga telah bertemu dengan anak-anak kariah masjid berkenaan dan dari maklum balas yang kita terima, mereka tidak bersetuju dengan projek berkenaan diteruskan.
"Sama ada projek ini akan diteruskan atau diberhentikan ia bergantung kepada keputusan dan nasihat daripada Jabatan Mufti dalam kadar segera," katanya dalam satu kenyataan di Kepala Batas hari ini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan penjelasan imam Masjid Jamek Kota Aur, Mohd Saidi Omar berhubung pembinaan tandas di atas tapak kubur di perkarangan masjid berkenaan yang mendapat rungutan penduduk setempat.
Beliau dilaporkan berkata pihaknya hanya akan menghentikan pembinaan itu jika mendapat arahan pejabat mufti negeri dan jika tiada, kerja-kerja pembinaan tandas itu akan tetap diteruskan.
Sementara itu, Pengerusi Kariah masjid berkenaan Datuk Ismail Omar berkata sepatutnya penduduk yang tidak berpuas hati dengan pembinaan tandas berkenaan berjumpa dengannya atau pihak pentadbir masjid terlebih dahulu untuk mendapat penerangan.
"Sebelum ini, kita telah buat perbincangan dan memberi penjelasan kepada penduduk kampung dan tiada sebarang bantahan, tiba-tiba ada pula yang masih tidak berpuas hati," katanya.
- Bernama

