Sebanyak 2,303 pemilih terlibat dalam tindakan pembetulan kawasan pendaftaran mengundi yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tempoh Januari-Ogos tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    

Beliau berkata tindakan sama membabitkan 2,579 pengundi pada tahun lepas.

    

Mohamed Nazri berkata langkah itu dilakukan mengikut Sub-peraturan 5(3)Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

"Ia membenarkan SPR mengemas kini atau membetulkan nama-nama pemilih yang didapati telah didaftarkan ke kawasan pendaftarannya secara silap.

"Di bawah peruntukan peraturan ini, SPR telah membuat pembetulan kawasan pendaftaran bagi pemilih yang telah membuat aduan mengenai kesilapan kawasan pendaftaran mereka dalam daftar pemilih," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata tindakan itu juga diambil hasil siasatan ke lapangan yang dilakukan SPR sendiri dari semasa ke semasa.

Mohamed Nazri juga berkata pemilih yang terlibat telah dimaklumkan menerusi telefon, surat dan e-mel.

- Bernama