Menteri hal ehwal undang-undang Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata rekod melibatkan 4,882 pengundi yang didaftarkan di kawasan parlimen yang salah telah diperbetulkan sejak Januari 2011 hingga Ogos tahun ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya bertanggungjawab untuk bertindak ke atas aduan berhubung kesalahan berkenaan, katanya dalam satu jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Jadual yang dikemukakannya dalam jawapan tersebut menunjukkan, sebahagian besar pembetulan tersebut – berjumlah 1,015 – dilakukan di Sarawak.

Sebanyak 728 pembetulan dibuat pada 2011 dan 233 lagi pembetulan dibuat ke atas daftar pemilih negeri itu pada tahun ini.

Pilihan raya negeri diadakan di Sarawak pada 2011.

Jumlah kedua paling besar, sebanyak 819 pembetulan direkodkan di Selangor.

Nazri menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang meminta perdana menteri menyatakan pecahan jumlah pengundi yang dipindah ke kawasan parlimen lain kerana kesalahan tersebut.

Fong juga mahu perdana menteri menyatakan jumlah pengundi yang dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai pemindahan kawasan mereka, namun Nazri tidak mengemukakan data berkenaan.

"Pemilih yang terlibat dalam tindakan pembetulan kawasan pendaftaran ini telahpun dimaklumkan melalui beberapa kaedah iaitu telefon, surat dan juga emel," kata Nazri.