Most Read
Most Commented
Read more like this

Kejadian memecat seseorang atas suatu dakwaan melakukan kesalahan sebelum didapati bersalah di mahkamah bukan hanya untuk bekas Timbalan Peradana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seorang aktivis pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Zaki Yamani Zainon, juga berhadapan dengan 'tatacara yang sama.' Barangkali kesilapan beliau ialah bergerak aktif bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), sebuah pertubuhan yang mempunyai sejarah dengan aktivisme belia dan politik Anwar.

Setiausaha Agung PKPIM ini dibuang dari UiTM atas dakwaan menyertai satu perhimpunan haram pada 14 April bulan sebelumnya, hari Anwar dijatuhkan hukuman enam tahun penjara. Tetapi institusi pendidikan Bumiputera itu tidak pernah menghantar surat rasmi memanggil Zaki ke mahkamah disiplin.

Selalunya menurut tatacara lazim, surat rasmi yang mengandungi pertuduhan spesifik dikirimkan kepada pelajar untuk perbicaraan tatatertib. Dalam surat itu juga dimasukkan tempat, masa dan tarikh perbicaraan, selain kebenaran bagi pelajar tertuduh itu memanggil saksi-saksi bagi pihak dirinya.

Menurut Zaki, UiTM hanya memaklumkan kepadanya melalui telefon agar menghadiri satu temubual dan perbicaraan sebenarnya akan diadakan selepas itu.

Zaki yang sudah dua kali dihadapkan ke sidang perbicaraan tatatertib pelajar dan seperti selalunya kes perbicaraan pelajar UiTM sebelum ini, sungguh mudah seseorang pelajar didapati bersalah tidak pula ditahan polis pada hari kejadian 14 April kerana "menyertai perhimpunan haram di Kuala Lumpur."

Polis tidak pernah mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau. Aktivis pelajar itu tidak pernah ditahan di mana-mana balai polis dan tidak pernah disoal siasat oleh polis selepas itu berhubung dakwaan penyertaannya dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun UiTM dalam satu surat bertarikh 22 Mei tahun lalu mengambil keputusan memecat Zaki, berkuatkuasa serta merta, atas alasan tidak menghadirkan diri dalam perbicaraan tatatertib pada 7 Mei untuk mendengar pertuduhan kononnya beliau terlibat dalam perhimpunan haram pada hari yang disebut itu.

Ya, pelajar UiTM itu memang ditahan dan disoal siasat oleh polis kemudiannya, pada 22 Disember. Selepas Zaki mengeluarkan kenyataan dalam afidavitnya Julai lalu, bagi memulakan saman terhadap UiTM dan Menteri Pendidikan, mempertikaikan tindakan terburu-buru institusi tersebut.

Dalam afidavit itu, Zaki berkata: "Saya tidak pernah didakwa, dituduh atau disoal berkaitan dengan kesalahan ini atau kesalahn berkaitan dengan ini oleh polis. Maka alegasi ini [...] yang dikemukakan oleh ITM [sekarang UiTM] kepada Menteri tersebut [untuk membuang Zaki] adalah alegasi semata-matanya dan tidak disokong apa juga bukti pun."

Hanya kini, selepas Zaki berjaya mendapatkan arahan Mahkamah Tinggi meneruskan saman tersebut, polis menahan beliau di pejabat PKPIM di Wangsa Maju dan dibawa untuk soal siasat selama hampir empat jam di Balai Polis Jalan Stadium.

Beliau sudah dua kali didapati bersalah oleh UiTM, pertama beliau didenda 200 ringgit pada November 1998 dan kedua, digantung pengajian selama dua tahun (empat semester pengajian) dan dilarang memasuki kawasan kampus UiTM pada Februari, 1999.

Zaki, ketika menghubungi malaysiakini dua hari lalu, berkata, "saya sudah dimaklumkan akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan itu." Malah, katanya lagi, seorang inspektor menghubunginya melalui telefon mendakwa pihak polis mempunyai rakaman video yang menunjukkan penyertaannya dalam perhimpunan 14 April itu. Nampaknya polis bertindak menurut jejak institusi pengajian tersebut yang bertanggungjawab membela Bumiputera.

Tetapi, bagaimanakah jika beliau tidak didapati bersalah oleh mahkamah? Atau...

Anwar mesti dipertahankan: Zaki

Ringkasan temubual Setiausaha Agung PKPIM, Ahmad Zaki Zainon, dengan malaysiakini .

Tentang Dr Mahathir

Banyak melakukan pembaharuan pada peringkat permulaan pentadbiran beliau tetapi kini terperangkap dengan kuasa -- terlalu mempertahankan kepentingan peribadi, keluarga dan kroni.

Tentang Anwar

Beliau seorang dianiayai dan difitnah. Menurut Al-Quran surah An-Nur, segala tuduhan ke atasnya tidak boleh diterima dan beliau harus dipertahankan.

Tentang Umno

Telah menyimpang daripada landasan perjuangan bangsa apabila hanya seorang pemimpin menguasai semua keputusan tanpa ruang demokrasi lagi.

Tentang reformasi

Ledakan kemarahan rakyat terbanyak terhadap kerosakan yang berlaku dalam negara ini.

Tentang aktivisme pelajar

Pergerakan pelajar bernafas semula selepas berdiam diri beberapa ketika. Kini pelajar mampu mengadakan kerjasama merentasi perbezaan bangsa dan fahaman politik. Pelajar juga aktif membangkitkan isu-isu negara dan sejagat, selain isu kampus.

Kronologi aktivisme Zaki

November 1998

Dituduh di mahkamah disiplin UiTM atas pertuduhan "menyebarkan risalah yang tidak dibenarkan" pada 22 Oktober tahun itu di Bangunan Hal Ehwal Pelajar.

Februari 1999

Dituduh di mahkamah disiplin UiTM atas dakwaan menyimpan risalah-risalah yang proreformasi untuk bacaan peribadi.

Mei 1999

Zaki dibuang dari UiTM selepas institusi itu mendakwa beliau gagal hadir perbicaraan tatatertib. Perbicaraan itu berhubung tuduhan bahawa Zaki menyertai perhimpunan haram pada 14 April 1999 di Kuala Lumpur.

Julai 1999

Menfailkan afidavit saman melalui Tetuan Skrine & Co terhadap UiTM dan Menteri Pendidikan. Zaki dilantik Setiausaha Agung PKPIM dalam mesyuarat agung bagi menggantikan Ahmad Shabrimi Sidek, bekas tahanan ISA pada September tahun sebelumnya.

November 1999

Permohonan untuk perbicaraan di mahkamah diluluskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Faiza Tamby Chik.

Disember 1999

Ditahan di pejabat PKPIM dan kemudiannya dibawa ke balai polis untuk soal siasat selamat hampir empat jam atas dakwaan terbabit dalam perhimpunan haram pada 14 April 1999, hari Anwar dijatuhkan hukuman enam tahun penjara.

Januari 2000

Permohonan untuk perintah certiorari yang ditetapkan pada 4hb ditangguhkan kepada 27 Mac depan. Zaki kemudiannya didakwa di mahkamah atas tuduhan terlibat dengan perhimpunan aman 14 April 1999.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS