Zul Noordin: Saifuddin 'tak layak' jadi timbalan menteri

   

MP Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin menuntut supaya timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan kerana berpandangan serangan BN ke atas jutawan George Soros berpotensi "memakan diri sendiri".

Dalam laporan Mingguan Malaysia itu, Zulkifli berkata Saifuddin sepatutnya membezakan "isu pertubuhan haram menerima dana asing untuk menjatuhkan kerajaan" dan "isu politik".

"Saya terkejut kenyataan seperti itu dikeluarkan oleh anggota kabinet yang jelas menunjukkan beliau tidak lagi layak menjadi timbalan menteri dan patut meletakkan jawatan," katanya seperti dipetik akhbar milik Umno itu.

Beliau mendakwa, isu yang dikaitkan dengan NGO Suaram itu "bukan soal politik tetapi perkara itu menyentuh tentang keselamatan serta kedaulatan negara".

Turut dibariskan dalam laporan tersebut untuk menyelar Saifuddin ialah presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah dan juga presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia Mohd Shahar Abdullah.

Azwanddin dilaporkan kesal kerana Saifuddin menurutnya "cuba mempertahankan sebuah pertubuhan yang terbukti menerima dana dan menjadi tali barut kuasa asing".

"Kami (NGO) bersungguh-sungguh menentang kemasukan dana asing yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, malangnya Saifuddin pula mempertahankan Suaram," katanya.

Saifuddin ketika ditemui Malaysiakini minggu lalu berkata, atas dasar itulah, beliau tidak gemar menyerang Soros mahupun NGO Suaram yang didakwa sebagai penerima dana daripada badan yang didakwa mempunyai kaitan dengan jutawan tersebut.

"Kalau kita tunjuk keburukan produk orang lain kita tak boleh kawal kualitinya sedangkan mereka boleh kawal (kualiti) produk mereka," kata Saifuddin yang juga ahli majlis tertinggi Umno.

"Bagaimana jika Soros yang (hari ini) kita hentam esok lusa dia buat kenyataan yang sesuai dengan kita.

"Sebab itu saya tak begitu berminat menghentam Soros atau menghentam Suaram," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda