Kerajaan akan meningkatkan program pemulihan banduan dan penghuni penjara melalui program kemsyarakatan di luar tembok penjara yang didapati lebih berkesan.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Wira Zulkifli Omar berkata melalui program pemulihan kemasyarakatan dan kekeluargaan yang diperkenalkan jabatan itu, kadar kemasukan berulang banduan di penjara seluruh negara dapat dikurangkan.

"Hasil kajian mendapati tidak sampai 0.8 peratus daripada jumlah 4,600 banduan yang diletakkan di bawah pengawasan melalui sistem pelepasan banduan bersyarat (parol) kembali menjalani hukuman di penjara kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah.

"Ini menunjukkan keberkesanan program kemasyarakatan yang dilakukan jabatan. Justeru, kita akan meningkatkan program ini pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas menutup kejohanan bola jaring Jabatan Penjara peringkat kebangsaan di Kota Bharu, hari ini.

Zulkifli berkata usaha jabatan itu adalah sejajar dengan langkah kerajaan yang tidak bercadang menambah pembinaan penjara baru dan petugasnya dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Sehubungan itu, katanya, kerajaan menggalakkan penyertaan golongan profesional dan pelajar menganggotai badan sukarela melalui program pemulihan kemasyarakatan banduan mengikut kepakaran masing-masing sesuai dengan dasar tranformasi kerajaan dalam usaha penambahbaikan jabatan itu.

"Usaha ini dapat membantu penghuni penjara yang telah bebas yang menjalani program pemulihan dalam komuniti termasuk melalui sistem parol," katanya.

Zulkifli berkata pada masa ini, 2,500 penghuni penjara sedang menjalani tahanan di bawah sistem parol di seluruh negara yang melibatkan kes-kes ringan dan hampir tamat menjalani hukuman.

Jabatan Penjara juga membebaskan kira-kira 2,000 banduan yang ditahan di bawah program pemulihan dalam masyarakat di lima kem tentera di seluruh negara, termasuk sebuah di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kelantan, katanya.

- Bernama