Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MIC akan meningkatkan usaha untuk mendapatkan 235,000 undi masyarakat India di Selangor kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang, kata Presidennya Datuk Seri G Palanivel.

    

Beliau yang juga ketua MIC Selangor berkata MIC yakin untuk memperoleh undi tersebut berdasarkan pelbagai inisiatif yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menaik kesejahteraan masyarakat India.

    

NONE "Dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, kami jangka sokongan masyarakat India kepada BN akan meningkat lebih 70 peratus di Selangor terutama di luar bandar dan pinggir bandar.

    

"Ini penting untuk merampas kembali Selangor dari pembangkang," katanya kepada pemberita semasa menghadiri majlis meletak batu asas pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman di Rimba Jaya di Shah Alam semalam.

    

Palanivel berkata MIC juga akan menambah undi sedia ada yang parti peroleh kepada lebih 500,000 undi berbanding 400,000 sekarang.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menggesa masyarakat India di negara ini memberi sokongan penuh dan setia kepada MIC agar ia menjadi parti paling kedua terkuat selepas Umno.

    

Beliau berkata jawatankuasa kerja perlu diwujudkan di setiap cawangan MIC, bahagian, negeri dan peringat kebangsaan untuk melaksana pelbagai inisiatif untuk masyarakat India.

    

Palanivel berkata masyarakat India perlu rasa berbangga kerana mereka kini

merupakan sebahagian arus pembangunan perdana dan ramai dari mereka diberi peluang menjadi kontraktor untuk melaksanakan projek kerajaan dan sebagainya.

    

Sementara itu beliau yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata

Najib telah memperuntuk RM1 juta untuk pembinaan kuil Hindu tersebut yang dijangka siap dalam tempoh setahun.

    

Kuil itu yang sebelum ini terletak di kawasan setinggan Rimba Jaya dipindah ke kawasan baharu berdekatan flat Rimba Jaya di Shah Alam di atas tanah seluas 15,000 kaki persegi.

    

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan menyaran  Kementerian Pertahanan supaya memberi kelonggaran kepada pemohon dari kalangan   masyarakat India yang tidak memenuhi syarat minimum, agar dapat menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    

Beliau berkata ini kerana ramai belia India gagal dalam subjek Bahasa Melayu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang menyebabkan mereka tidak layak memohon menyertai ATM.

    

"Kami berharap kelonggaran diberi kepada kelulusan subjek Bahasa Melayu, kerana sebenarnya ramai belia India mahu menyertai perkhidmatan ketenteraan," katanya kepada pemberita ketika mengikuti Pemilihan Khas Perajurit Muda lelaki dan Wanita Tentera Darat untuk belia India di Kuala Lumpur hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS