Naib presiden PAS Salahuddin Ayub menjelaskan bahawa parti itu hanya mengambil pendekatan berbeza dengan PKR dalam isu Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) dam bukannya dari segi prinsip.

Dalam satu wawancara yang disiarkan Sinar Harian hari ini, Salahuddin berkata parti itu juga mengakui kelebihan projek tersebut namun membantah tindakan pengambilan tanah di kampung tradisi masyarakat Pengerang, Johor.

"PAS dan PKR tidak bertentangan daripada segi prinsip. Sama ada ia akan dikekalkan atau dipindahkan ke tempat lain, perkara itu masih lagi fleksibel.

"Tetapi mengambil tanah hampir 10 kampung, kami memang tidak bersetuju," katanya yang menjelaskan pembangunan tersebut harus memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya menyusahkan mereka.

Dalam wawancara itu juga, Salahuddin menjelaskan kedua-dua parti berbeza hanya mengambil pendekatan berbeza berhubung pendekatan dalam isu tersebut dan bukannya dari segi prinsip.

"Isu berbeza daripada segi kita menangani perkara yang saya lihat daripada segi pendekatan sama ada lokasi pembangunan tersebut (sesuai). Itu bukan percanggahan dari segi prinsip.

"Kita bersandarkan pemahaman bersama iaitu kelestarian pembangunan itu tidak bercanggah di mana 'jangan ambil tanah itu' adalah asas bersama. Yang lain mungkin kita boleh berbeza pandangan," katanya.

Beliau juga mahu kerajaan menamakan pihak yang bertanggungjawab membuat keputusan untuk pengambilan tanah 10 kampung terlibat kerana Petronas sendiri menurutnya tidak pernah membangunkan industri di atas tanah yang menjadi kampung tradisi.

"Kalau begitulah rekod Petronas, kita mahu tahu siapa yang membuat keputusan hampir 10 kampung mahu diambil. Itulah isunya," katanya kepada Sinar Harian .

Mengulas mengenai peluangnya untuk bertanding di Johor dalam pilihan raya umum akan datang, Salahuddin berkata beliau mungkin akan bertanding sama ada di kerusi parlimen atau DUN, atau kedua-duanya.

Anak kelahiran Tanjung Piai itu juga berkata beliau melihat "sinar yang sangat cerah" untuk satu perubahan berlaku di Johor walau mengakui tindakannnya untuk bertanding di negeri itu "berisiko tinggi".

"Saya fikir, saya mahu balik ke Johor walaupun risikonya cukup tinggi. Yang penting, kita akan buat perubahan di Johor," katanya yang turut menyifatkan cakap-cakap yang menamakan beliau sebagai calaon menteri besar sebagai perkara yang "disensasi oleh media".