PAS Kedah mempertahankan garis panduan baru oleh Majlis Bandaraya Alor Setar yang antara lainnya menetapkan model untuk papan iklan berpakaian sopan dan menutup aurat – walau dibantah DAP negeri.

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan kenyataan setiausaha dewan ulama PAS Kedah Syeikh Zainol Asri Ramli yang berkata parti itu tidak perlu mendapatkan persetujuan DAP bagi melaksanakan garis panduan tersebut.

"Memang isu ini kalau dilihat ada kesan kepada politik PAS tetapi ini bukan soal politik semata-mata tetapi ia adalah kehendak Islam tanpa mengira fahaman politik.

"(Garis panduan MBAS) itu menepati kemahuan semua kaum sebab dalam dunia tidak ada mana-mana kaum yang mahu iklan tidak sopan malahan ramai juga yang membantah iklan yang mengeksploitasi wanita," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Menurut akhbar milik Umno itu lagi, Syeikh Zainol tetap menyokong peraturan tersebut kerana kerjasama dalam Pakatan Rakyat bersifat "longgar dan fleksibel".

"Pada saya, (PAS) nak jaga sangat DAP tetapi DAP tidak jaga hati kami. Sebenaranya kerjasama dalam Pakatan bersifat longgar dan fleksibel kerana ada benda yang boleh dan ada perkara yang tidak boleh kita berpakat (dengan DAP)," katanya.

Beliau mengulas bantahan yang disuarakan pengerusi DAP Kedah Lee Guan Aik bahawa parti itu tidak akan menyokong pelaksanaan garis panduan papan iklan tersebut, seperti yang dilaksanakan di Kelantan.

Laporan Utusan Malaysia semalam menyebut, Lee berkata DAP Kedah akan menentang undang-undang berunsur Islam itu sekiranya dilaksanakan PAS di negeri tersebut.

"DAP negeri sekali lagi ingin menegaskan dan menjelaskan bahawa kami tidak akan memberi sokongan terhadap undang-undang hudud atau apa sahaja berkaitan isu negara Islam," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Kenyatannya itu bagi mengulas garis panduan pemasangan papan iklan seperti yang dinyatakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar Datuk Mat Noh – berhubung penggunaan bahasa, lanskap dan pakaian model iklan.

Menurut laporan akhbar milik Umno itu lagi, garis panduan tersebut antara lainnya menekankan bahawa model tersebut tidak boleh berpakaian mencolok mata dan perlu menutup aurat bagi model beragama Islam.