Lapan jabatan, agensi negeri S'gor bakal terima RM20,000
Kerajaan Selangor akan memberi RM20,000 kepada lapan jabatan dan agensi negeri yang mencapai tahap prestasi pengurusan baik seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Ganjaran itu sebagai penghargaan terhadap komitmen jabatan dan agensi berkenaan dalam mengurus kewangan, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan semalam.
Jabatan dan agensi itu yang mendapat penarafan empat bintang pada 2011 ialah Majlis Perbandaran Subang Jaya, Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Agama Islam Selangor, dan Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam.
Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, dan Perbendaharaan Negeri Selangor turut mendapat penarafan itu.
- Bernama

