Lapan anggota RAF dikebumi hari ini
Lapan anggota Tentera Udara Diraja British (RAF) yang terkorban ketika perang dunia kedua 67 tahun lalu, akan disemadi di Tanah Perkuburan Tentera Komanwel, Cheras, hari ini.
Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone berkata cebisan tulang kru pesawat B-24 Liberator itu yang terhempas di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, akan dikebumi selepas tiga tahun setengah ditemui.
"Saya gembira kerana anggota keluarga mereka berpeluang memberi penghormatan terakhir dan mereka juga diberi penghormatan ketenteraan yang selayaknya," katanya kepada pemberita di ibunegara semalam.
Sementara itu, anak saudara Sarjan Udara Jack Blakey yang terkorban dalam nahas tersebut, Margaret Clark Coates berkata mendiang yang lahir dan dibesarkan di Boston, Lincolnshire, United Kingdom menawar diri untuk berkhidmat dalam RAF pada 1942.
Pada 23 Ogos, lapan hari selepas Jepun menyerah, kru mendiang ditugaskan membawa bekalan kepada tahanan perang yang baharu dibebaskan di Malaya.
"Walaupun misi berjaya disempurnakan, pesawat itu gagal kembali ke pangkalan di Kepulauan Cocos," katanya mengimbas kembali insiden pada sesi temu bual.
Katanya bangkai pesawat dan mayat semua kru tidak ditemui sehinggalah pada tahun 1990-an.
Pada Ogos 2009, pasukan dari Muzium Tentera Darat di Port Dickson dan Kumpulan Sejarah Malaysia menjalankan siasatan di kawasan tragedi dan menemui rangka serta cebisan tulang manusia yang kemudian dibawa balik ke Kuala Lumpur.
"Rangka dan cebisan tulang itu kemudian disahkan milik kru pesawat terbabit," katanya yang turut berasa bertuah kerana berpeluang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang bapa saudaranya.
Anak saudara Lt. Udara John Selwyn Watts, Diane Fletcher, 58, yang turut hadir, berkata mendiang berusia 24 tahun ketika insiden itu.
"Mendiang terbunuh lima minggu selepas berkahwin dan beliau tidak mempunyai anak. Balunya menunggu mendiang hampir 10 tahun sebelum berkahwin kali kedua," katanya.
Menurut Fletcher, ibunya sentiasa bercerita mengenai mendiang.
"Hari esok akan diingati oleh semua anggota keluarga kami," katanya dalam nada sedih.
- Bernama

