Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada September lepas tidak meminggirkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata proses transformasi sistem pendidikan negara bukan hanya tertumpu kepada sekolah kebangsaan semata-mata sebaliknya merangkumi kedua-dua SJK tersebut.

"Ada pihak tertentu yang membuat cerita tidak betul apabila Perdana Menteri melancarkan pelan pembangunan pendidikan, mereka kata ia hanya untuk sekolah kebangsaan, saya nak jelaskan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil juga masuk di dalam pelan pembangunan ini," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan rakyat 1Malaysia di SJK(C) Li Chi di Segamat, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan SJK adalah sebahagian sistem pendidikan di negara ini.

Katanya kerajaan sentiasa berusaha memajukan sistem pendidikan sekolah kebangsaan serta sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil agar setiap pelajar sekolah memperoleh manfaat bersama.

"Kalau kita tidak majukan (SJK) maka kita tidak berlaku adil kepada pelajar-pelajar sekolah Cina dan Tamil, ini satu perkara yang tidak betul," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta rakyat agar tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang termasuk dakwaan bahawa kerajaan akan menutup SJK.

Katanya ia satu pembohongan yang amat besar semata-mata bertujuan meraih sokongan rakyat khususnya kaum Cina dan India pada pilihan raya umum akan datang.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada SJK(C) Li Chi bagi projek penambahan bilik darjah.

Timbalan Perdana Menteri selepas itu beramah mesra dengan orang ramai dan minum petang di kedai kopi Sin Bee King di pekan Jementah di sini sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

- Bernama