Ku Li: Ladang rotan untuk Orang Asli Gua Musang
Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerajaan akan membangunkan ladang rotan jenis manau sebagai pendapatan alternatif bagi kaum Orang Asli yang tinggal di pendalaman daerah ini.
Beliau berkata, ladang rotan manau itu mempunyai potensi cerah berikutan permintaan terhadap bahan berkenaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa kerana ia boleh menghasilkan pelbagai jenis kraftangan.
"Kaum itu juga telah biasa menjual rotan manau sebelum ini apabila memperolehi daripada hutan, tetapi sekarang terjejas teruk akibat daripada kawasan hutan yang semakin pupus," katanya pada majlis perjumpaan dengan masyarakat Orang Asli di Pos Pasik di Gua Musang, hari ini.
Sempena lawatan itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada setiap Orang Asli berkenaan bagi meringankan beban perbelanjaan mereka ketika berdepan dengan masalah pendapatan sekarang.
Tengku Razaleigh berkata, ladang rotan manau itu boleh diusahakan di mana-mana sahaja kawasan berikutan tanah di perkampungan Orang Asli itu sesuai untuk tanaman itu walaupun mengambil masa panjang sebelum mengeluarkan hasil.
"Kita akan mulakan dengan pembukaan ladang rotan manau itu tahun depan dan sekarang masih dalam kajian benihnya supaya apabila mengeluarkan hasil nanti lebih bermutu untuk pasaran luar negara.
"Lagi pun tanam rotan manau itu amat mudah sekali tanpa perlu penjagaan rapi selepas ditanam sehingga menunggu dapat dituai kelak untuk dijual," katanya.
Beliau berkata, soal pasaran tidak timbul sama sekali kerana sejak dahulu sampai sekarang rotan manau mendapat permintaan yang meluas.
- Bernama

