MB: Penapisan air membran, TPM tak dapat maklumat tepat
Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata tidak diberi penjelasan dan maklumat yang tepat mengenai teknologi penapis air membran apabila mendakwa teknologi tersebut tidak praktikal kerana mahal dan tidak mampu menambah bekalan air, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Abdul Khalid Ibrahim.
"Mungkin tujuh tahun lalu, teknologi penapis air membran ini mahal kerana baru diperkenalkan tetapi sekarang tidak lagi.
"Teknologi ini sangat kompetitif dan sekarang digunakan untuk memproses air laut menjadi air mentah di beberapa negara di Timur Tengah," kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan.
Kerajaan Selangor, tegasnya, telah memanggil perunding daripada Kanada yang telahpun memberikan taklimat terperinci mengenai penggunaan teknologi ini "yang kita anggap lebih praktikal dan menjimatkan berbanding menembuk banjaran Titiwangsa untuk membina terowong bawah tanah dan memusnahkan alam sekitar untuk pembinaan empangan di Pahang."
Menerusi teknologi ini, katanya, Selangor akan mempunyai bekalan air yang mencukupi tanpa perlu membeli air daripada Pahang.
"Kita mampu meningkatkan kapasiti air dengan hanya membina teknologi penapis air membran di loji pembersihan air sedia ada," tambahnya.
Menurut Abdul Khalid lagi, penggunaan teknologi penapis air membran itu mampu menambahkan satu juta meter padu air sehari dengan hanya menggunakan satu pertiga daripada kos pembinaan Langat 2.
"Purata keperluan air di Selangor dan Lembah Klang adalah sekitar empat juta meter padu sehari tetapi bekalan yang sampai kepada pengguna hanyalah tiga juta meter padu kerana satu juta meter padu ‘hilang’ atau Non Revenue Water (NRW).
"Justeru, teknologi ini mampu menampung tambahan keperluan satu juta meter padu setiap hari," katanya.
Menteri besar berkata, sekiranya timbalan perdana menteri tidak faham mengenai teknologi ini, pihaknya sedia memanggil perunding daripada Kanada untuk memberikan taklimat kepada beliau dan para pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pakar air di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
"Kerajaan Selangor mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri tidak menentang Langat 2 tetapi perlu disertakan sebagai pakej penyusunan semula industri perkhidmatan air yang terbantut kerana tiada kerjasama dari kerajaan Pusat dan syarikat konsesi.
"Penyusunan semula perkhidmatan air di Selangor adalah penyelesaian menyeluruh yang membolehkan pengguna di Selangor dan Lembah Klang menerima perkhidmatan bekalan air lebih efisen pada harga munasabah," tegas menteri besar.

