Fitnah: Zaharin mohon maaf pada Syed Abdul Rahman
Setiausaha Umno bahagian Bandar Tun Razak, Abdul Zaharin Mohd Yasin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mengeluarkan kenyataan fitnah di laman Facebook.
Abdul Zaharin membacakan kenyataan permohonan maafnya semalam di hadapan Hakim Datuk Lau Bee Lan dengan disaksikan Syed Abdul Rahman dan peguam masing-masing.
Pada 20 Ogos 2010 Syed Abdul Rahman memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap Abdul Zaharin dan memohon injuksi menghalang menerbitkan kata-kata fitnah tersebut.
Sementara itu, peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Syed Abdul Rahman ketika dihubungi pemberita berkata Hakim Lau telah membatalkan saman tersebut susulan permohonan maaf itu.
- Bernama

