Kerajaan Selangor akan menyenaraikan projek rumah mampu milik yang sedang dibina dan sudah diluluskan pada 1 November depan bagi menolak dakwaan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim sebelum ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Abdul Samad berkata, tarikh itu dipilih supaya Donald dapat menarik balik kenyataannya yang mencabar menteri besar menunjukkan 23,000 unit rumah kos rendah yang dijanjikan semasa pilihan raya lalu.

NONE "Jika beliau gagal (menarik balik) maka beliau tidak ada pilihan lain selain dari meletakkan jawatan," kata Iskandar.

Lim sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor cuma menyiapkan 1,000 unit rumah sahaja.

Justeru, beliau bertanya, di mana pembinaan 23,637 unit rumah yang dijelaskan ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua sebelum itu.

Bercakap dalam sidang media di parlimen, Lim mendakwa, kebanyakan rumah yang siap dibina daripada projek kerajaan terdahulu BN dan hampir tiada projek baru untuk perumahan kos rendah di negeri itu pada masa ini.

Donald juga mendakwa, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kini lebih berminat untuk membangunkan kediaman mewah daripada kediaman kos rendah atau sederhana.

Dalam kenyataannya semalam, Iskandar berkata, dakwaan Lim tidak berdasarkan fakta, tidak cermat, mengelirukan dan tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang timbalan menteri.

Kata Iskandar, rakyat sedia maklum akan projek-projek perumahan rumah mampu milik yang dibina di Selangor sama ada oleh kerajaan negeri, melalui anak syarikat, atau pemaju swasta.

"Kerajaan negeri sedia ada telah menggalakkan pemaju-pemaju membina rumah mampu milik di kawasan-kawasan yang tidak sesuai untuk dibina rumah kos rendah atau di mana tidak ada permintaan untuk rumah kos rendah," katanya.

Iskandar malah memberitahu, siri lawatannya di projek-projek tersebut mendapati rumah mampu milik di Selangor bernilai antara RM85,000 hingga RM150,000 - jauh lebih rendah dari projek kerajaan pusat yang dijual sehingga RM300,000.