Pemuda BN sifat demo PAS cemar nama baik KCS
Pemuda BN Kedah menyifatkan tindakan beberapa anggota majlis pihak berkuasa tempatan mendesak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah Datuk Rasli Basir berundur sebagai biadab dan mencemar nama baik pegawai tadbir negeri Kedah (KCS).
Pengerusinya Badrulhisham Hashim berkata tindakan kumpulan terbabit yang turut mengadakan demonstrasi jalanan jelas melampaui batas dan memalukan.
"Sepatutnya mereka gunakan saluran dalaman yang bersesuaian bukan demonstrasi jalanan yang hanya mencemarkan sejarah KCS yang sudah berusia hampir 103 tahun sejak ditubuhkan pada 1909," katanya kepada pemberita, di Alor Setar hari ini.
Katanya, tindakan mendesak SUK Kedah meletak jawatan kerana kononnya menyokong BN adalah sangat aneh selain biadab kepada Sultan Kedah yang memperkenankan pelantikan Rasli sebagi SUK.
Dakwaan mereka bahawa bantahan itu hanya kerana isu pertukaran yang dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu ke Kuala Muda sangat meragukan kerana Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Rakyat telah menjelaskan pertukaran tersebut mengikut prosedur sah, katanya.
Badrulhisham berkata Pemuda BN melihat perbuatan itu sebagai sandiwara politik pakatan pembangkang untuk mengalih tumpuan rakyat kepada isu lain yang membelenggu kerajaan Kedah sekarang.
Tindakan Rasli menukar Ahmad Fisol Md Nor selaku yang dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu ke Kuala Muda mendapat bantahan sekumpulan anggota Majlis Daerah yang mengadakan beberapa demonstrasi di hadapan Wisma Darul Iman sejak awal bulan lepas.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut meletakkan sepanduk dan poster supaya Rasli meletakkan jawatan atau digantikan. Kumpulan itu mendakwa Rasli menyalahgunakan kuasa untuk memindahkan Ahmad Fisol sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda.
Mengulas lanjut, Badrulhisham berkata perbuatan anggota majlis terbabit menunjukkan pemimpin pakatan pembangkang gagal membezakan antara urusan kerajaan dan parti.
"Bagaimana pegawai kerajaan yang bersikap profesional dapat melaksanakan tugas mereka sebagai pegawai kerajaan jika mereka dikongkong oleh politik semata-mata? Di mana kredibiliti dan keupayaan kerajaan PAS Kedah untuk mentadbir Kedah kalau isu yang begini pun tidak dapat ditangani," katanya.
-Bernama

