Penulis ruangan agama dalam Utusan Malaysia , Astora Jabat, membantah tindakan Universiti Utara Malaysia menggantung pengajian seorang aktivis pelajar yang menegur penulis itu dalam satu majlis forum.

Astora yang dihubungi malaysiakini petang tadi berkata beliau "tidak berpuas hati" terhadap tindakan universiti itu. Penulis itu juga berkata "UUM tidak wajar" berbuat demikian.

"Perbezaan pandangan bukannya jenayah," katanya. "Oleh itu, UUM tidak wajar mengambil tindakan (tatatertib) ke atas pelajar tersebut."

Bekas pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Mohd Rizal Mohd @ Anan, dikenakan tindakan tatatertib itu selama setahun setengah atau tiga semester selepas didapati bersalah "menjatuhkan nama baik pelajar dan maruah universiti."

Rizal dikenakan hukuman tersebut mulai 14 Mac lalu selepas Astora menulis dalam akhbar tersebut mengulas perkembangan dalam majlis forum 'Dialog Agama Bersama Astora Jabat' yang diadakan di UUM pada bulan lalu.

Aktivis pelajar itu memberikan beberapa pandangan terhadap Astora dan pihak penganjur majlis itu dalam sesi soal jawab.

Penulis yang dianggap sering mengemukakan pandangan agama yang kontroversi itu akan menimbulkan isu berkenaan kepada Kementerian Pendidikan dan UUM dalam tulisannya pada Jumaat atau Ahad ini.

"Saya akan berhenti memberikan penerangan dalam kampus jika pihak universiti menghukum pelajar berdasarkan perbezaan pandangan agama," kata Astora, sambil menegaskan beliau masih mempunyai beberapa jemputan lagi untuk hadir memberikan penerangan di kampus-kampus lain.

Astora juga berkata Rizal tidak banyak mengkritik beliau, malah pelajar berkenaan mempertikaikan aspek penganjuran majlis tersebut.

"Isu yang dibangkitkan kebanyakannya isu dalaman universiti itu," kata Astora.

Apabila ditanya kandungan tulisannya selepas majlis forum di UUM tersebut, Astora berkata beliau "tidak ingat" dengan jelas.

"Saya sebenarnya memberikan response pada satu tulisan yang mengkritik saya dalam 'mahazalim', " katanya.

'Mahazalim' adalah nama popular bagi Laman Reformasi , sebuah tapak web yang sering mengkritik kerajaan dan menyiarkan pandangan pembangkang.