'Perluas operasi PKNS sebab ketinggalan belakang CapitaLand'
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Isnin berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mungkin perlu menjual asetnya bagi menampung perluasan operasinya.
Beliau berkata langkah itu perlu dilakukan dalam usaha menjadikan PKNS sebagai syarikat hartanah terbesar di negara ini.
"Namun, ia terpulang kepada keputusan yang akan dibuat oleh (Lembaga Pengarah PKNS)," katanya ketika ditemui di majlis jamuan Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam.
Beliau ditanya sama ada pemindahan lima aset PKNS bernilai RM321 juta kepada sebuah anak syarikat milik penuh PKNS adalah langkah awal untuk penjualan aset berkenaan.
Abdul Khalid berkata pengurusan PKNS menerima idea untuk memperbesarkan lagi operasinya memandangkan ia kini ketinggalan berbanding CapitaLand Ltd, pemaju hartanah dari Singapura yang ditubuhkan selepas PKNS.
- Bernama

